Bengkel Move with Malong tingkat kesedaran budaya Filipina

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai sejarah Filipina, seterusnya memperkukuhkan, meningkatkan dan mempromosi kebudayaan, kesenian dan khazanah kerjasama antara Brunei Darussalam dan Filipina, Bengkel Move with Malong telah diadakan baru-baru ini.

Bengkel secara dalam talian yang mempamerkan tarian Kappa Malong Malong orang-orang Maranao dari Mindanao berkenaan turut disertai oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

The Bayanihan Dance Company, penyanyi kumpulan kebudayaan Filipina yang terkenal bergabung sebagai tenaga pengajar dalam bengkel berkenaan dan disertai oleh tetamu undangan misi-misi dan kedutaan Filipina di seluruh dunia.

Turut serta dalam bengkel kebudayaan itu adalah salah satu rakan budaya kedutaan Filipina, Sarjana Education Group (SEG).

Semua peserta menerima kit berisi malong, sehelai kain berbentuk tubular sederhana tapi sangat terkenal dengan unsur kreatif serta brosur yang menerangkan tentang tarian Kappa Malong Malong.

Tarian Kappa Malong Malong dipilih untuk meningkatkan kesedaran mengenai budaya dan tradisi prakolonial Filipina yang memperkuatkan naratif Filipina sebagai sebuah negara dengan budaya sendiri sebelum gerakan penjajahan global.

Acara dalam talian itu mengetengahkan kembali persamaan budaya Filipina dengan negara jirannya yang berbangsa Melayu dan Islam di Asia Tenggara, menjadikan negara-negara dan rakyatnya lebih dekat dan mempromosikan pemahaman dan penghayatan yang lebih besar mengenai persamaan dan perbezaan antara satu sama lain.

Projek Jabatan Luar Negeri Filipina dan Suruhanjaya Nasional Budaya dan Kesenian (NCCA), Move with Malong: An Online Cultural Workshop adalah kegiatan di bawah Perjanjian Kerjasama Budaya yang ditandatangani oleh Filipina dan Brunei Darussalam pada 2017.

Aktiviti itu bertujuan untuk mempromosikan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan kesenian dengan meningkatkan jaringan institusi dan pertukaran.

Bengkel secara dalam talian yang mempamerkan tarian Kappa Malong Malong orang-orang Maranao dari Mindanao.