Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Jabatan Penjara, hari ini, telah merasmikan Bengkel Pengukuhan Program Pemulihan Jabatan Penjara bersama Agensi-agensi Pemulihan di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Jongsarat Pusat Latihan, Jabatan Penjara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bengkel berkenaan ialah Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat yang turut menyampaikan fail dan kad kepada seramai 19 orang peserta bengkel tersebut.
Para peserta adalah dari beberapa buah agensi kerajaan seperti Jabatan Biro Kawalan Narkotik, Pusat Dakwah Islamiah, Kompleks Rumah Kebajikan dan Cawangan Pusat Tahanan Polis Tentera.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan seterusnya ucapan alu-aluan daripada Ketua Pusat Latihan, Jabatan Penjara, Penolong Penguasa Penjara Haji Saini bin Haji Maidin sebelum ucapan daripada tetamu kehormat majlis.
