Bengkel Penulisan Novel labuh tirai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Program Penulis Muda (Bengkel Penulisan Novel) 2021 hari ini melabuhkan tirainya dengan acara penutupan program yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom.

Seramai 18 orang peserta telah mengikuti bengkel tersebut, terdiri daripada alumni penulis, belia serta penulis-penulis muda tanah air yang berumur antara 15 hingga 35 tahun.

Bengkel Penulisan Novel yang diadakan selama tiga hari ini merupakan salah satu kegiatan yang dirancang khusus bagi Program Penulis Muda sebagai kesinambungan beberapa buah bengkel yang diadakan sejak awal program ini dilancarkan pada tahun 2019.

Antara objektif bengkel adalah untuk mendedahkan kepada para penulis tentang asas dan teknik penulisan sebuah novel secara berperingkat sehingga terhasilnya sebuah novel yang mantap. Bengkel dibimbing oleh Dayang Sosonjan Ayun Khan, seorang penulis wanita yang sangat aktif dalam penulisan khususnya novel dan cerpen. Hadir selaku tetamu khas pada majlis ialah Pemangku Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Sastera dan Majalah selaku Pengerusi Program Penulis Muda, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Raden, pemangku timbalan pengarah DBP, ketua-ketua bahagian dan para pegawai serta kakitangan DBP.

Acara diteruskan dengan ucapan daripada pemangku pengarah DBP, diikuti dengan ucapan daripada Dayang Sosonjan Ayun Khan selaku fasilitator bengkel dan seterusnya ucapan daripada wakil peserta bengkel iaitu Dayang Siti Astri binti Haji Moksin.

Awang Suip bersama peserta bengkel semasa acara penutup program yang diadakan secara maya kelmarin. – Gambar serahan Dewan Bahasa dan Pustaka