Bengkel perangi penggubahan wang haram beri kesedaran

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara baru-baru ini, telah menganjurkan bengkel mengenai ‘Pengesanan Penggubahan Wang Haram di Pos-pos Kawalan Sempadan’ yang berlangsung selama dua hari di Dewan Kyoto, Bangunan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

Diadakan pada 24 dan 25 Jun lalu, bengkel dianjurkan atas kerjasama antara Pejabat Peguam Negara dan JKED bagi memerangi penggubahan wang haram dan dihadiri kira-kira 20 orang pegawai JKED.

Pada bengkel itu, timbalan pendakwa raya menyampaikan ceramah mengenai hubungan antara penggubahan wang haram serta pergerakan mata wang fizikal dan banyak lagi.

Bengkel juga menyentuh mengenai amalan penyiasatan terbaik berdasarkan analisis kes sebenar dan diakhiri dengan memberikan senario kes untuk memperdalamkan lagi pemahaman dan pengetahuan para peserta bengkel.

Bengkel tersebut membuktikan komitmen Pejabat Peguam Negara yang berperanan penting Pencegahan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Anti Penggubahan Wang Haram dan Memerangi Pembiayaan Pengganasan (NAMLC) untuk meningkatkan lagi kualiti penyiasatan dan meningkatkan pengetahuan agensi penguatkuasaan undang-undang dalam
mengesan kesalahan penggubahan wang haram.

Selain bengkel tersebut, beberapa siri bengkel seterusnya juga akan dianjurkan bersama agensi penguatkuasaan undang-undang yang lainnya di negara ini.