Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bengkel persediaan Laporan VNR ke-2 bermula

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Sebagai persediaan input untuk penyediaan Laporan Voluntary National Review (VNR) ke-2 bagi Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan Bengkel Kebangsaan bagi VNR ke-2 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini di Dewan Kuliah, JPM.

    JPM mengendalikan bengkel berkenaan selaku Sekretariat Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan (JKPK) Matlamat Pembangunan Berdaya Tahan (SDG) bagi Negara Brunei Darussalam.

    Bengkel dirasmikan oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir ialah Penyelaras Menetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Malaysia, Singapura dan Negara Brunei Darussalam, Karima El Korri, timbalan-timbalan menteri di JPM dan Setiausaha Tetap (Wawasan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad selaku Pengerusi JKPK SDG bagi Negara Brunei Darussalam.

    Bengkel juga dihadiri oleh ahli-ahli dan Sekretariat JKPK SDG, wakil-wakil dari pihak kerajaan, agensi-agensi PBB, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan, masyarakat sivil, ahli akademik, belia dan institusi kewangan.

    Dalam ucaptamanya, Karima mengetengahkan potensi kerjasama dua hala antara Brunei Darussalam dan PBB ke arah mencapai Agenda 2030.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menghadiri Bengkel Kebangsaan bagi VNR ke-2 yang berlangsung di Dewan Kuliah, JPM, kelmarin.

    Beliau menekankan peranan penting golongan belia dalam menyampaikan perubahan positif yang berkekalan di mana selaku pelopor masa depan, mereka akan membantu untuk merangka keutamaan dan isu-isu yang paling bermakna dalam perspektif segar dan progresif.

    Jika diperkasa, tambahnya, golongan belia boleh menjadi ejen perubahan yang dapat membuat sumbangan yang nyata menerusi kesukarelawanan dan penyertaan komuniti serta dalam tingkah laku kehidupan seharian mereka.

    Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa penyertaan seimbang dan efektif daripada kumpulan utama yang inklusif dan pelbagai adalah sama pentingnya untuk memastikan bahawa kesemua dimensi pembangunan berdaya tahan dapat diberikan perhatian sewajarnya termasuk wanita dan perempuan, warga emas, golongan yang berlainan upaya, kumpulan orang asli, migran dan komponen-komponen lain dalam masyarakat Brunei.

    Beliau turut menyatakan PBB bersedia untuk menyokong kerajaan Brunei dan semua pihak berkepentingan melalui advokasi, perkongsian ilmu pengetahuan, pengesanan data dan pelaporan.

    Selepas menyempurnakan pembukaan bengkel, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew melancarkan akaun instagram rasmi SDG kebangsaan, SDGs_Brunei, yang menjadi salah satu landasan memberigakan perkembangan SDG kebangsaan.

    Laporan VNR ke-2 akan dihadapkan ke Forum Politik Peringkat Tinggi bagi SDG pada 2023.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...