Bengkel pupuk minat sukan boling padang

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Bagi meningkatkan semangat dan memupuk minat dalam sukan boling padang, Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait dan Unit Kejurulatihan Pembangunan Sukan dengan kerjasama Persatuan Boling Padang Negara Brunei Darussalam telah mengadakan bengkel di Kompleks Sukan Mumong kelmarin.

Seramai lebih daripada 30 orang telah menyertai bengkel tersebut yang terdiri daripada orang ramai serta guru-guru sukan, belia-belia, pegawai dan kakitangan dari pelbagai sektor kerajaan dan sekolah swasta di Daerah Belait.

Bengkel tersebut bertujuan untuk mempromosikan sukan boling di negara ini serta memperkenalkan asas-asas sukan berkenaan dan memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti bersukan.

Oleh yang demikian, bengkel tersebut dikendalikan oleh ahli dan pemain daripada Persatuan Boling Padang Negara Brunei Darussalam, yang mana mereka mengajar para peserta mengenai kemahiran, pengetahuan, peraturan-peraturan dan teknik cara bermain sukan berkenaan.

Menurut salah seorang ahli jawatankuasa bengkel dan kakitangan di Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait, Haji Ahmadi bin Hassim, menjelaskan bahawa bengkel tersebut merupakan salah satu inisiatif jabatan untuk mempromosikan sukan di Daerah Belait.

“Dengan mengadakan bengkel ini, kami ingin memupuk minat di kalangan masyarakat terhadap sukan boling padang dengan harapan dapat mewujudkan peluang bagi mengasah kemahiran mereka untuk membentuk pasukan agar dapat bersaing dalam kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” tambahnya.

Salah seorang ahli jawatankuasa bengkel mengajar para peserta semasa bengkel tersebut.