Oleh Saemah Kepli
SERIA, 17 Sept – Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) dengan kerjasama Muzium Penemuan Kanak-kanak Antarabangsa (KID) serta Bethesda Maryland Amerika Syarikat (AS) telah menganjurkan bengkel sains untuk mendedahkan pelajar dari sekolah kerajaan di Daerah Belait beberapa kemahiran dan pembelajaran sains.
Bengkel yang merupakan sebahagian daripada Program Young South East Asia Leadership Initiative, Professional Fellows (YSEALIPFP) itu menyaksikan wakil dari AS dan Brunei menyampaikan topik berkaitan sains dan teknologi di samping demonstrasi pelbagai eksperimen sains yang dibangunkan sendiri oleh peserta bengkel.
Bengkel lima hari itu menampilkan Ram Mosher, yang juga pengajar pembuatan di Muzium KID untuk memimpin dan mengetuai 10 orang pelajar dari lima buah sekolah kerajaan di Daerah Belait dalam pelbagai latihan kerja sains
Ram Mosher memberitahu, beliau datang ke negara ini menerusi YSEALIPFP untuk mendedahkan apa yang dinamakan oleh studio penemuan Muzium KID sebagai topik mengenai pembelajaran Reka Bentuk serta Seni Dalam Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEAM) serta mempamerkan potensi pelajar dalam mempelajari kemahiran baru.
Pembelajaran STEAM adalah gerakan popular yang diasaskan oleh Georgette Yakman pada tahun 2007 untuk mempromosi dan mengintegrasikan STEAM yang ditafsirkan melalui kejuruteraan dan seni berdasarkan unsur-unsur Matematik.


Ketika ditanya apakah harapannya daripada bengkel tersebut, beliau menjelaskan pedagogi mereka di Muzium KID adalah untuk mengajar kemahiran hidup melalui pembelajaran STEM dan STEAM.
“Kami bukan saja mengajar anak-anak tentang pertukangan kayu, tekstil dan elektronik tetapi juga percetakan 3D dan pengkodean yang merupakan sebahagian daripada pergerakan pembuatan yang kami cuba sampaikan kepada para pelajar,” katanya.
Pergerakan pembuatan atau budaya pembuat mewakili budaya kontemporari melibatkan lanjutan teknologi budaya ‘Do-it-Yourself’ (DIY) yang merangkumi ‘reverse engineering’ pelbagai ciptaan yang ada melalui ‘tinkering’ untuk mencipta peranti baru.
Di samping itu, tambahnya, mereka juga mengajar apa yang disebut kemahiran emosi sosial seperti kerja berpasukan, keberanian dan kesungguhan serta semua kemahiran yang berfaedah untuk berjaya dalam dunia yang saling berkaitan ini.
Usaha itu, menurut beliau, memerlukan interaksi antara individu terutama mereka dari negara lain untuk terus memperbaiki diri sebagai kunci kejayaan.
Ram Mosher turut berharap bengkel tersebut membantu pelajar meneroka pelbagai kemahiran dan teknik memperluaskan minda, berfikir di luar kotak selain pengalaman semasa di negara ini juga bermakna dia dapat membawa kebahagiaan baru kepada pengajaran selepas bengkel ini selesai.
Sementara itu, OGDC pula menyatakan bengkel tersebut akan memberikan pengalaman dan manfaat kepada para pelajar yang terlibat dan berharap mereka dapat mempelajari pelbagai kemahiran baru.
Selain itu, OGDC berharap untuk menganjurkan lebih banyak bengkel pada masa akan datang sebagai platform perkongsian pengalaman dan kemahiran bagi para pelajar di daerah ini bersama rakan mereka dari negara lain.