Bengkel tingkat kesedaran amalan tipuan bidaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam melalui Sekretariat Eksekutif di Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna telah memulakan bengkel bersiri bertajuk ‘Menentang Tipuan Bidaan di dalam Perolehan Awam’, bagi meningkatkan kesedaran terhadap amalan tipuan bidaan serta mendidik penjawat awam mengenai langkah-langkah untuk mengesan dan mencegah tipuan bidaan di dalam tender awam.

Diketuai oleh dua pakar dan pengamal persaingan, Dr Hassan Qaqaya, Rakan Senior di Melbourne Law School, Melbourne University dan Penasihat Undang-undang Kanan di Indonesia Competition Commission, Mohammad Reza, bengkel membincangkan secara ekstensif mengenai konsep tipuan bidaan dan tanda-tanda amaran yang diperlu diambil perhatian oleh pegawai perolehan bagi membolehkan tipuan bidaan dikesan di peringkat permulaan serta langkah-langkah yang patut diambil apabila tipuan bidaan dikesan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Sekretariat Eksekutif kepada Suruhanjaya Persaingan dalam sesi pembukaan menekankan bahawa amalan tipuan bidaan, yang juga dikenali sebagai kolusif tender, merupakan kesalahan yang serius di bawah Perintah Persaingan dan setelah menyatakan minat untuk menyertai tender, persetujuan untuk tidak bersaing di antara pembida adalah dilarang. Justeru itu, Suruhanjaya Persaingan memberi keutamaan kepada menentang dan mencegah amalan tipuan bidaan mengambil kira potensi kemudaratan yang signifikan kepada pengguna, ekonomi secara keseluruhan dan bebanan kewangan kepada perbelanjaan kerajaan.

Selain itu, bengkel tersebut turut memberikan peluang kepada peserta untuk membincangkan secara telus mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan proses dan prosedur perolehan awam, yang secara tidak sengaja dapat menghalang persaingan untuk mencapai nilai yang berpatutan serta menyumbang kepada kolusi di antara pesaing.

Peserta juga diberikan latihan kes untuk mengaplikasikan konsep yang dipelajari serta membincangkan strategi yang praktikal bagi mengesan tipuan bidaan melalui contoh kes sebenar yang diambil daripada Indonesia.

Bengkel ditutup dengan penyampaian poster ‘Menentang Tipuan Bidaan di dalam Perolehan Awam’ yang menggariskan langkah pencegahan untuk meminimumkan risiko tipuan bidaan.

Sekretariat Eksekutif memuji penyertaan aktif pegawai-pegawai daripada Kementerian Kesihatan dan menggalakkan peserta untuk menyebarkan maklumat yang dipelajari dengan rakan sekerja kementerian dan mengajak kerjasama yang berterusan untuk mengesan dan menghentikan tipuan bidaan ke arah mene-gakkan budaya mendapatkan nilai yang berpatutan di dalam tender awam bagi menjimatkan perbelanjaan.

Bengkel bersiri ini merupakan sebahagian daripada inisiatif advokasi Suruhanjaya Persaingan dalam mempromosikan budaya kesedaran persaingan di kalangan penjawat awam untuk mencegah amalan tipuan bidaan dan memupuk aktiviti ekonomi yang beretika, bertepatan dengan penguatkuasaan Perintah Persaingan yang telah bermula pada Januari tahun ini.