Bengkel tingkat kesedaran bahaya dadah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, rombongan seramai sembilan orang ahli Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) Negara Brunei Darussalam termasuk empat orang belia BASMIDA telah menghadiri Bengkel IFNGO ASEAN NGOs ke-24 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 26 hingga 29 November lalu.

Rombongan BASMIDA diketuai oleh Yang Di-Pertua BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.

Bengkel itu membawa tema ‘Mengurangkan Permintaan Dadah’ dengan tema kecil ‘Ketagihan dalam kalangan golongan Milenial ke arah Standard Antarabangsa bagi Pencegahan Penggunaan Dadah’.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BASMIDA, di sini, hari ini, Bengkel IFNGO ke-24 dianjurkan oleh Badan Kerjasama Sosial Usaha Pembinaan Warga Tama (BERSAMA) dengan matlamat untuk membangunkan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat, kebangsaan dan serantau mengenai usaha mencegah penyalahgunaan dadah, berkongsi pengalaman mengenai isu-isu berhubungan dengan penggunaan dadah dalam kalangan anggota IFNGO serta untuk memperkenalkan National War Against Drugs and Urine Test- Early Drug Detection.

Bengkel selama empat hari itu disertai oleh lebih 200 orang peserta dari negara-negara ASEAN dan negara anggota IFNGO serta peserta Indonesia.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa semasa bengkel berkenaan, Datin Hajah Masni dan Naib Yang Di-Pertua BASMIDA, Hajah Linda Aini binti Abdullah telah dijemput membentangkan kertas-kertas kerja mereka bagi mewakili BASMIDA.

Datin Hajah Masni membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mengurangkan Permintaan Dadah: Inisiatif-inisiatif NGO’ dan Hajah Linda Aini pula membentangkan kertas kerja bertajuk Anti Drugs Community-Community Preventive Strategies and Holistict Approaches on Drugs and Substance Abuse.

Bengkel berkenaan menyediakan peluang yang amat berharga bagi para peserta untuk bertukar-tukar maklumat, membincangkan dan membentangkan mengenai trend terkini serta kaedah untuk menangani isu-isu ke arah mencapai sebuah matlamat yang sama.

Rombongan BASMIDA yang diketuai oleh Datin Hajah Masni ketika menyertai Bengkel IFNGO NGOs ke-24 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 26 hingga 29 November lalu.