Friday, February 14, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel tingkat kesedaran usaha cegah rasuah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Biro Mencegah Rasuah (BMR), dengan kerjasama Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC), Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Republik Rakyat China, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) dan Akademi Antarabangsa Menentang Rasuah Hong Kong (KHIAAC) telah menganjurkan seminar mengenai Penglibatan Belia yang Bermakna (MYE) dalam Usaha Anti-Rasuah, yang diadakan di Dewan Kuliah UBD Corp, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah BMR, Syed Azmal bin Syed Ali dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan yang berkaitan, pelajar-pelajar universiti dan institusi pengajian tinggi serta belia-belia yang berdaftar di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Ceramah bagi seminar yang bertemakan Dari Kesedaran ke Tindakan: Memperkasa Belia dalam Memerangi Rasuah itu termasuk Roberta Falvo dan Christos Vlassis dari UNODC; Penolong Pengarah Hubungan Komuniti, ICAC, Debbie Ly; Pegawai Kanan Akademi, HKIAAC, ICAC, Henry Lai dan Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan dari Jabatan Belia dan Sukan, KKBS, Awang Muhammad Amirul Syazmie bin Ibrahim.

    Acara itu menandakan satu langkah yang signifikan ke arah menggalakkan penglibatan belia dalam perjuangan memerangi rasuah secara global, selaras dengan matlamat yang digariskan dalam Panduan Polisi bagi Pihak Berkuasa Anti-Rasuah mengenai Penglibatan Belia yang Bermakna dalam Usaha Anti-Rasuah, yang disediakan bersama oleh ICAC, UNODC, dan Persatuan Pihak-pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA).

    Panduan ini menyarankan pihak-pihak berkuasa di seluruh dunia untuk terlibat secara aktif dalam mewujudkan kesedaran mengenai pencegahan rasuah serta memupuk integriti, ketelusan dan akauntabiliti sebagai amalan kehidupan. BMR, sebagai salah satu ahli IAACA, juga turut menyumbang kepada penggubalan garis panduan dasar tersebut.

    Seminar ini telah membincangkan bagaimana garis panduan dasar dapat menggalakkan perubahan positif dalam usaha memerangi rasuah. Para penceramah dari ICAC, UNODC dan Pemimpin Belia Elit ICAC juga telah mengongsikan pengalaman-pengalaman dan strategi-strategi mereka dalam bagaimana mereka menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi anti-rasuah dalam meningkatkan kesedaran serta usaha pencegahan rasuah.

    Seminar ini akan diikuti dengan bengkel selama dua hari, yang akan menghimpunkan pegawai-pegawai anti-rasuah dan wakil-wakilnya untuk bekerja sama dengan ahli belia yang terpilih bagi mengaitkan teori dan amalan dalam membentuk pelan MYE yang juga akan mengintegrasikan platform teknologi dan digital, serta membincangkan cabaran-cabaran yang mungkin timbul dalam penyediaan pelan tersebut.

    Syed Azmal semasa menghadiri seminar tersebut yang diadakan di Dewan Kuliah UBD Corp, baru-baru ini.- GAMBAR SERAHAN BMR
    Para penceramah bergambar ramai semasa seminar berkenaan.- GAMBAR SERAHAN BMR

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda