Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Seramai 30 orang peserta terdiri daripada pemandu-pemandu pelancong yang telah berdaftar dan berlesen di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan menyertai Bengkel Melayu Islam Beraja (MIB) selama dua hari yang diadakan di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, hari ini, bengkel yang berakhir hari ini itu dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja.
Bengkel itu bermatlamat untuk memberikan maklumat, menambah ilmu dan memberikan penerangan yang lebih terperinci kepada pemandu–pemandu pelancong terhadap konsep MIB.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa antara tajuk bengkel berkenaan ialah Sejarah Kewujudan Negara Melayu Islam Beraja, Huraian Konsep MIB dan Material Budaya di mana ia telah disampaikan oleh pihak Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja.
Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa bengkel berkenaan adalah selaras dengan pelan strategik Jabatan Kemajuan Pelancongan yang mana salah satu fokus utama ialah meningkatkan pembangunan kapasiti melalui latihan-latihan dan bengkel-bengkel yang bersesuaian bagi pihak-pihak yang berkepentingan dalam industri pelancongan.
Pada masa yang sama, melalui bengkel itu, pemandu-pemandu pelancong akan dapat menambah ilmu dan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan mereka secara lebih mendalam mengenai MIB dan akan meningkatkan lagi pengetahuan mereka tentang amalan-amalan terbaik selain daripada menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan Islam di rantau ini.
