Thursday, December 8, 2022
24.7 C
Brunei

-

Bengkel tingkatkan kemahiran pegawai PDI

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Dalam meningkatkan kemahiran dan kapasiti, seramai 43 orang pegawai Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah mengikuti Bengkel Pendedahan Kaedah Rasm Uthmani dan Pengadaptasiannya di dalam Pentashihan dan Penapisan Al-Quran serta Seumpamanya yang berlangsung selama empat hari hingga hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup kursus berkenaan ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, yang kemudian menyampaikan sijil kepada para peserta.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Haji Abdul Rajid berkata, bengkel yang julung kalinya diadakan sejak penubuhan pusat berkenaan dihasratkan dapat menghasilkan satu garis panduan penapisan yang berkualiti dan diperakui seterusnya menjadikan Urus Setia Lajnah Pentashihan Al-Quran PDI sebagai tempat pentashihan dan rujukan yang diiktiraf khasnya dalam bidang pengawalan dan pentashihan Al-Quran di Negara Brunei Darussalam.

Beliau berkata, dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi infokomunikasi, ilmu-ilmu Al-Quran lebih mudah diakses.

Walaupun begitu, tegasnya, perlu juga berhati-hati di mana sumber rujukan yang diperolehi perlu ditapis akan kesahihannya.

ATAS & BAWAH: Haji Abdul Rajid menyampaikan sijil kepada para peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan. – Gambar serahan PDI

Oleh itu, PDI melalui Bahagian Penapisan dan Pameran mengungkayahkan bengkel seumpamanya sebagai salah satu cara mendalami lagi pengetahuan penulisan Rasm Uthmani seterusnya meningkatkan kemahiran pegawai di pusat berkenaan,

Bengkel berkenaan secara tidak langsung menjadi salah satu inisiatif atau platform bagi memperkenalkan rasm kepada orang awam secara tidak langsung.

Selain itu, ia sangat berguna ke arah menambah kemahiran dan ilmu pengetahuan para pegawai mengenai penulisan Rasm Uthmani dan bermanfaat dan dapat diguna pakai dalam melaksanakan tugas-tugas seharian khasnya untuk digunakan dalam kerja-kerja penapisan Al-Quran.

Ini supaya kekeliruan masyarakat tentang Rasm Uthmani, Dabtul Quran, label dan standard mushaf dapat difahami untuk dipertanggungjawabkan dalam pentashihan Al-Quran di negara ini.

Beliau seterusnya berharap supaya matlamat bagi membisaikan dan menyusun garis panduan pentashihan mushaf Al-Quran melalui sesi perbincangan mengenai keperluan kodifikasi penyemakan dan pentashihan mushaf Al-Quran standard di negara ini dapat dicapai.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China umum pelonggaran sekatan seluruh negara

BEIJING, 7 DIS – China hari ini mengumumkan langkah pelonggaran sekatan COVID di seluruh negara yang menjejaskan negara ekonomi kedua terbesar dunia dan mencetuskan...
- Advertisment -