Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Bengkel tingkatkan rasa cinta terhadap Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Seramai 37 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD) baru-baru ini, telah menamatkan program Quranic Journey: Quranic Mates pengambilan pertama secara maya yang berlangsung selama tiga bulan, bermula 19 September hingga 19 Disember lalu.

    Sehubungan itu, Majlis Penghargaan Bakal Pembimbing Al-Quran bagi Majlis Khatam Konvo UBD telah diadakan secara maya pada 19 Disember lalu yang dihadiri oleh Pegawai Ugama dan Kerohanian, Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat (UKKM) Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dayangku Siti Norainul Fathni binti Pengiran Haji Tajuddin ada.

    Program anjuran bersama UKKM, HEP dan Alumni Eksekutif Keagamaan dan Kerohanian (EKK Alumni), UBD itu merupakan inisiatif untuk melatih bakal pembimbing Al-Quran yang terdiri daripada pelajar UBD dalam menampung kekurangan pembimbing yang dihadapi setiap tahun bagi majlis khatam konvokesyen UBD.

    Secara tidak langsung, program berkenaan membantu pelajar mengeratkan lagi hubungan mereka dengan Al-Quran dan meningkatkan rasa cinta terhadap Al-Quran.

    Menurut kenyataan yang diberikan, bengkel dua sesi tersebut dikelolakan oleh EKK Alumni sepanjang tempoh tiga bulan ini supaya dapat memantapkan lagi ilmu peserta.

    Bengkel pertama iaitu Bengkel Tajwid dengan tajuk ‘Klinik Asas Al-Fatihah’ disampaikan oleh Awang Najib Latif atau lebih dikenali sebagai Ustaz Engineer dari Al-Muyassar Group dan bengkel kedua, Bengkel Komunikasi bertajuk VaQcine telah disampaikan oleh penceramah bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Mohd Yadiy bin Haji Mat Yassin yang mana keduanya telah diadakan pada 13 Oktober dan 21 November lalu.

    Antara tujuan lain program berkenaan bukan sahaja untuk memanfaatkan masa peserta dengan baik sewaktu musim pandemik tapi ia diisi lagi dengan sesi pembacaan Al-Quran dan aktiviti atas talian yang berkaitan dan diadakan secara mingguan.

    Program berkenaan secara tidak langsung menjadi satu wadah bagi merapatkan ukhuwah peserta dengan fasilitator dan dengan itu membina sistem sokongan agar kedua-dua pihak terus bersemangat.

    Meskipun banyak dugaan dihadapi mahasiswa dan siswi semasa menjalani hidup norma baharu ini, program seperti Quranic Journey itu diharap dapat membantu meningkatkan keimanan dan beristiqamah dalam membaca Al-Quran.

    Antara yang menghadiri program tersebut yang diadakan secara maya. – Gambar serahan UBD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...