Bengkel urus tabung masjid diteruskan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Bengkel Pengurusan Kewangan Tabung Masjid bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara telah diteruskan lagi hari ini, kali ini diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.

Peserta bengkel kali ini terdiri daripada kalangan pegawai-pegawai masjid dan ahli-ahli jawatankuasa (AJK) takmir masjid yang menjawat jawatan pengerusi, bendahari, penolong bendahari dan pemeriksa kira-kira serta yang menangani hal ehwal pengurusan kewa-ngan tabung masjid di Zon 2 Daerah Brunei dan Muara.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya ucapan alu-aluan Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

Pada bengkel berkenaan, taklimat mengenai peraturan kewangan tabung masjid telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Idarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu.

Manakala itu, taklimat mengenai prosedur-prosedur dan tatacara pengurusan kewangan tabung masjid disampaikan oleh Penolong Pegawai Kerja Tingkat I, Awang Mohammad Jamaluddin bin Haji Jaya.

Bengkel anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Idarah tersebut merupakan yang ketiga diadakan dan akan dilaratkan di keempat-empat daerah mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Antara tujuan bengkel adalah untuk meningkatkan pengetahuan pegawai masjid dan AJK takmir masjid mengenai peraturan-peraturan kewangan yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam.

Melalui bengkel berkenaan juga dihasratkan dapat menyelaras peraturan, menambah baik prosedur, borang-borang dan amalan-amalan baik dalam pengurusan kewangan tabung masjid agar ia lebih efisien dan teratur khususnya pada para peserta.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kepentingan dan kesedaran dalam penyediaan laporan penyata kewangan tabung masjid agar ia lebih teratur dan selaras dengan peraturan.

Antara peserta yang mengikuti Bengkel Pengurusan Kewangan Tabung Masjid bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.
Taklimat Bengkel Pengurusan Kewangan Tabung Masjid bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.