Benih padi Titih mampu tingkat produktiviti beras

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) akan memberikan benih padi Titih kepada beberapa peladang pada tahun depan yang mana benih padi berkenaan mampu menghasilkan 8 tan metrik per hektar.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong semasa mengulas mengenai usaha kementerian untuk meningkatkan produktiviti beras di negara ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, pada masa ini KSSUP telah membuat ujian bagi benih Titih berkenaan sebelum diberikan kepada para peladang.

“Walaupun kita tidak menambah kawasan, tapi kita dapat menambah hasil melalui benih digunakan yang mempunyai hasil tinggi,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, seperti yang dimaklumi, beras merupakan makanan asasi masyarakat dan negara masih bergantung kepada import sebanyak 92 peratus dan 8 peratus saja sara diri.

Ke arah untuk mencapai sara diri, ujar beliau, satu inisiatif besar telah dilaksanakan iaitu dengan pembukaan kawasan baharu di Kandol seluas 500 hektar dan pada masa ini fasa satu telah pun selesai di mana 28 hektar telah dibuka.

“Kini fasa kedua telah bermula untuk membuka 145 hektar dan kerja tanah akan selesai pada hujung tahun depan,” tambahnya.

Selain membuka kawasan baharu, KSSUP juga telah memperkenalkan benih baharu yang lebih produktif di mana pada 10 tahun yang lalu, produktiviti padi sebanyak 2 tan per hektar dan lima tahun yang lalu telah memperkenalkan produktiviti padi yang boleh menghasilkan 5 tan setiap satu hektar.

“Manakala dua tahun lepas kita juga telah memperkenalkan padi Sembada, secara purata ialah boleh menghasilkan enam tan per hektar,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa mengulas mengenai usaha kementerian untuk meningkatkan produktiviti beras pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani