KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Kerajaan Malaysia hari ini mengatakan ia akan membentangkan belanjawan 2023 pada 7 Oktober, tiga minggu lebih awal berbanding yang dijadualkan, mencetuskan spekulasi ia mungkin mengumumkan pilihan raya umum awal.
Pilihan raya tidak dijadualkan sehingga September tahun depan, namun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ditekan oleh parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk membubarkan parlimen bagi pilihan raya awal.
Menteri Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaaftar mengatakan bajet akan dibentangkan pada 7 Oktober dan bukannya 28 Oktober. Menurutnya, sidang parlimen akan diawalkan untuk tujuan itu.
Langkah mempercepatkan tarikh pembentangan bajet negara walau bagaimanapun, adalah perkara biasa, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Perkara biasalah. Dulu zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pernah buat (bajet) bulan September,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran program USHAniaga Keluarga Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura mengatakan ia adalah satu petanda kemungkinan pilihan raya awal akan diadakan.
“Sejumlah besar penduduk masih berdepan kesukaran dan bergantung kepada bantuan kerajaan untuk menanggung mereka. Maka pembentangan bajet yang mesra rakyat dan pemurah secara tipikalnya dilihat salah satu cara memenangi sokongan pilihan raya dalam tempoh singkat.
“Pilihan raya mesti diumumkan dalam masa 60 hari selepas parlimen dibubarkan. Jika ia diumumkan tahun itu, ia kemungkinan akan diadakan lewat November bagi mengelak musim monsun akhir tahun.” – AP/Bernama