Bentang kertas kerja projek terkini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Kementerian Pembangunan dan Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei telah berganding bahu mengadakan lawatan khas bagi delegasi Joint Roundtable bagi ASEAN Architects (AAC) dan ASEAN Chartered Professional Engineers Coordinating Committee (ACPECC) yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Lawatan yang dilakukan ke beberapa buah lokasi persekitaran pembinaan utama seperti tapak projek jambatan Temburong yang menghubungkan Bandar Seri Begawan dan Daerah Temburong, dan Taman Mahkota Jubli Emas, turut dijayakan oleh 15 orang ahli Engineering Student Chapter dari Universiti Teknologi Brunei

Sebelum mengakhiri lawatan tersebut, PUJA Brunei telah mengadakan sesi minum petang bersama delegasi AAC, ACPECC dan Competent Authorities of the Framework Arrangement for the Mutual Recognition of Surveying Qualifications termasuklah ahli-ahli profesional.

Turut hadir majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Ghafar selaku tetamu kehormat .

Terdahulu, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman selaku Presiden PUJA telah pun membentangkan kertas kerja mengenai Developing Digital Culture, Mindset and Capacity in Construction Industry semasa Mesyuarat Joint Roundtable bagi AAC dan ACPEC.

Sementara itu, para jurutera dan arkitek daripada Kementerian Pembangunan turut membentangkan kertas kerja masing-masing mengenai projek Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, pembangunan rumah-rumah dalam Projek Perintis di Kampong Ayer dan Projek Jambatan Brunei-Temburong.

Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty ketika membentangkan kertas kerja pada majlis tersebut.