SEOUL, 10 NOV – Jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento berkata Son Heung-min yang mengalami kecederaan pasti akan dipilih menyertai Piala Dunia – tetapi tidak menyatakan bilakah kapten tersebut bakal pulih untuk menghadapi perlawanan pertama di Qatar.
Pemain penyerang Tottenham itu telah menjalani pembedahan bagi keretakan soket mata dalam perlawanan Liga Juara-Juara yang menyaksikan pasukannya menang 2-1 menentang Marseille baru-baru ini.
Son menulis di dalam Instagram miliknya pada Rabu bahawa bermain dalam Piala Dunia adalah impiannya sejak kecil dan dia tidak sabar untuk mewakili negaranya.
Bento menolak kebimbangan mengenai Son terlepas peluang dalam aksi Piala Dunia, dengan perlawanan pertama Korea Selatan dalam Kumpulan H menentang Uruguay pada 24 November hanya tinggal dua minggu lagi.
“Sudah pasti dia akan terpilih. Dia perlu diberikan masa secukupnya untuk pulih. Kami akan memeriksa keadaannya dari hari ke hari. Kami mempunyai masa untuk buat pilihan yang tepat, pilihan yang terbaik untuk semua,” kata Bento kepada wartawan.
Korea Selatan bakal berdepan Ghana pada 28 November dan Portugal pada 2 Disember.
Son, yang berkongsi kasut emas dalam musim Liga Perdana Inggeris yang lepas dengan penjaring terbanyak Liverpool, Mohamed Salah, mempunyai peminat yang ramai di Korea Selatan.
Dia dikira pemain kritikal untuk membolehkan Korea Selatan mara ke pusingan kalah mati dalam Piala Dunia, dengan rekod jaringan sebanyak 35 gol dalam 104 perlawanan antarabangsa – termasuk sembilan dalam 14 penampilan terakhirnya. – AFP