Bentuk pelajar berwibawa, berilmu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Bagi melengkapkan diri pelajar dengan ilmu dan kemahiran bagi persiapan mereka dalam meningkatkan daya saing ke arah pembangunan negara, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Kampung Katok hari ini telah mengadakan Program Keagamaan Senegara yang berlangsung di surau sekolah berkenaan.

Program berkenaan diisi dengan bacaan Selawat Tafrijiyah, Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Surah Yasin sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Acara kemudiannya turut diisikan dengan Tazkirah Pelajar Berwawasan yang antara lain menekankan para pelajar untuk terus memainkan peranan yang penting dalam menjayakan wawasan negara selaras dengan tema program berkenaan bagi bulan Februari iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

Selain itu, mereka juga dinasihatkan agar terus berusaha meraih kejayaan dalam pelbagai bidang kehidupan termasuk akademik dan sahsiah diri dengan belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib diri, keluarga, masyarakat dan negara dan dengan cara sentiasa fokus semasa pengajaran guru dalam bilik darjah, membuat dan mematuhi jadual pelajaran di bilik darjah dan di rumah.

Program Keagamaan Senegara diadakan di kesemua persekolahan agama dan Arab secara serentak di seluruh Negara.

Antara pelajar sekolah berkenaan yang menghadiri Program Keagamaan yang diadakan secara serentak di semua persekolahan agama dan Arab.