MADRID, 15 OGOS – Dua jaringan daripada penyerang veteran Perancis, Karim Benzema membantu pasukan untuk mencatat kemenangan yang diinginkan 4-1 ke atas Alaves dan Carlo Ancelotti meraikan permulaan kali ke-dua menguruskan kelab dengan kemenangan.
Seteru rapat mereka, Barcelona mungkin telah kehilangan bintang utama, Lionel Messi namun Real turut berada dalam tempoh peralihan selepas Zinedine Zidane meletak jawatan selaku pengurus dan dua pemain pertahanan utama mereka, Sergio Ramos dan Raphael Varane turut meninggalkan kelab di mana masing-masing menyertai PSG dan Manchester United.
Meskipun masih dibarisi dengan pemain bintang, kedua-dua kelab terbesar Sepanyol masih gagal menghalang Atletico Madrid untuk menjulang trofi La Liga musim lalu.
Tetapi selepas gagal menjaringkan sebarang gol pada separuh masa pertama, Real menemui rentak selepas babak kedua bersambung dengan kehadiran Gareth Bale yang membuat hantaran kepada Eden Hazard lalu menghantar bola kepada Benzema, yang dilantik sebagai ketua pasukan dengan ketiadaan Marcelo yang tercedera, untuk membuat rembatan voli pada minit ke-48.
Nacho kemudian menggandakan jaringan menerusi sepakan voli dari jarak dekat selepas Luka Modric membuat sepakan sudut pendek pada minit ke-56 dan Benzema sekali lagi membolosi gawang lawan sebelum perlawanan berlalu sejam.
Alaves berjaya meledak gol melalui sepakan penalti Joselu untuk menewaskan penjaga gol Madrid, Thibaut Cortois, yang membuat penampilan ke-100 La Liga bersama pasukan Real, selepas John Guidetti dijatuhkan.
Tetapi tandukan daripada Vinicius melengkapkan kemenangan buat Real Madrid pada masa kecederaan. – AFP
