MADRID, 25 MEI – Pemain Real Madrid, Rodrygo ditanya kelmarin apakah nasihat terbaik yang telah diberikan oleh Karim Benzema, dan dai menjawab dengan pantas, “Cuba menghantar bola kepada.”
Ia merupakan strategi yang wajar untuk Real Madrid kerana pemilik jersey nombor sembilan itu akan menjadi pemain paling berbahaya di atas padang pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Sabtu ini menentang Liverpool.
Benzema mencipta 49 gol dalam 52 perlawanan mengatasi 33 gol Mohamed Salah dalam 59 perlawanan manakala Kylian Mbappe, lebih rendah, dengan 43 gol daripada 49 perlawanan.
Jika Real Madrid menewaskan Liverpool untuk memenangi Piala Eropah ke-14, Benzema dijangka akan menewaskan pemain seperti Salah dan Sadio Mane untuk memenangi Ballon d’Or pertamanya.
Musim ini, Benzema telah menjaringkan gol terbanyak dalam kariernya untuk Real Madrid dan terbanyak sepanjang kariernya dalam Liga Juara-Juara. Dia juga merupakan pemain tertua yang menjaringkan hatrik di Liga Juara-Juara dan penjaring Perancis paling prolifik dalam sejarah.
Jika dia menjaringkan dua gol hujung minggu ini, Benzema akan menyamai rekod 17 gol Liga Juara-Juara yang dicatat oleh Cristiano Ronaldo, yang paling banyak dijaringkan oleh seorang pemain dalam satu kejohanan.
Bekas pemenang Ballon d’Or, Jean-Pierre Papin pernah berkata, “Benzema mempunyai kekuatan Ronaldo, kepantasan Ronaldinho, kelas Henry dan naluri David Trezeguet.”
Benzema juga telah menjaringkan 10 gol pada peringkat kalah mati, menggegarkan lawan terbaik, termasuk hatrik menentang Paris Saint-Germain, hatrik menentang Chelsea dan dua gol menentang Manchester City. – AFP