Benzema dihukum penjara digantung setahun

VERSAILLES, PERANCIS, 24 NOV – Mahkamah Perancis hari ini menjatuhkan hukuman penjara digantung selama setahun ke atas penyerang Real Madrid, Karim Benzema kerana terbabit dalam ugutan video seks ke atas bekas rakan sepasukannya di Perancis, Mathieu Valbuena.

Hukuman itu jelas lebih berat daripada yang dipohon oleh pihak pendakwaan berhubung kes yang berlaku pada 2015 sehingga mengakibatkan dia disisihkan daripada skuad kebangsaan selama lima tahun setengah. Benzema tidak hadir untuk sesi keputusan hukuman itu yang diadakan beberapa jam sebelum aksi Liga Juara-Juara antara Real Madrid berdepan Sheriff Tiraspol di Moldova.

Pasukan pembelaannya mengesahkan pihaknya akan mengemukakan rayuan. Bercakap kepada wartawan, salah seorang peguamnya, Sylvai Cormier berkata dia ‘terkejut dengan hukuman yang dijatuhkan’.

Pihak pendakwaan memohon Benzema yang juga salah seorang daripada lima yang didakwa atas skandal yang menggegarkan skuad kebangsaan Perancis itu supaya dikenakan hukuman tertangguh selama 10 bulan.

Benzema juga tidak menghadiri sesi perbicaraannya pada bulan lalu atas alasan komitmen profesional.

Hukuman terbabit bagaimanapun tidak menjejaskan kariernya kerana Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis, Noel LeGraet menjelaskan dia akan kekal bersama skuad Les Bleus sekalipun disabit bersalah dan Real Madrid turut memberi sokongan kepada pemainnya itu.

Namun hukuman itu pasti mencemari kepulangan menakjubkan yang ditunjukkan oleh Benzema sejak kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan awal tahun ini.

Dia meledak sembilan gol sejak kembali dipanggil Didier Deschamps sekali gus muncul penjaring kelima terbanyak dalam sejarah pasukan itu. – AFP

Gambar fail pada 11 November menunjukkan Karim Benzema tiba untuk sesi latihan di Clairefontaine-en-Yvelines. – AFP