PARIS, 19 MEI – Karim Benzema (gambar) dinamakan dalam skuad Perancis untuk Euro 2020 oleh Didier Deschamps, keputusan yang mengejutkan penyerang Real Madrid itu selepas beberapa tahun dipulaukan.
Pemain berusia 33 tahun itu tidak beraksi bersama Perancis sejak Oktober 2015 namun kini tersenarai bersama pemenang Piala Dunia, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann untuk persediaan kejohanan Eropah yang tertangguh sebelum ini.
“Sangat berbangga dapat kembali semula kepada pasukan Perancis serta kepercayaan yang diberikan kepada saya,” kata Benzema di akaun Twitter miliknya.
“Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, kelab dan kepada yang sentiasa memberi sokongan dan kekuatan kepada saya setiap hari.”
Benzema yang sudah menjaringkan 27 gol untuk Perancis sepanjang 81 penampilan, memenangi anugerah pemain terbaik Perancis yang beraksi di luar negara oleh Persatuan Pemain Perancis.
Beliau telah menjaringkan 29 gol untuk Real Madrid pada musim ini. “Saya tidak pernah memperkatakan yang buruk mengenainya. Sejak awal lagi kami menjalinkan hubungan yang baik,” kata Deschamps merujuk kepada Benzema. – AFP