Benzema masih impikan Ballon d’Or

MADRID, 10 OKT – Penyerang Real Madrid, Karim Benzema mengimpikan memenangi anugerah Ballon d’Or sejak kanak-kanak lagi, beritahunya dalam satu temubual yang diterbitkan akhbar Sepanyol, AS kelmarin.

Benzema dipilih dalam senarai 30 orang calon penerima Ballon d’Or semalam, sehari selepas meledakkan jaringan ketika Perancis menewaskan Belgium 3-2 dan mara ke final Liga Negara-Negara.

“Saya sudah mengimpikan memenangi anugerah sejak kanak-kanak lagi, malah semua pemain profesional mempunyai impian itu,” kata Benzema.

“Jadi saya sudah melakukan segala yang mampu dan akan meneruskan untuk melakukannya kerana saya harap dapat memenanginya dan memenuhi impian sejak kanak-kanak.”

Dengan sembilan gol dalam lapan perlawanan buat Madrid musim ini, Benzema menyerlah sejak Cristiano Ronaldo berpindah dari kelab berkenaan sejak dua tahun lalu.

Reaksi Karim Benzema semasa meraikan jaringan golnya pada perlawanan separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA menentang Belgium di Stadium Juventus di Turin, pada 7 Oktober lalu. – AFP

“Apa yang penting orang ramai gembira dengan prestasi saya dan ia membuatkan saya seronok serta bangga.

“Terdapat beberapa penyerang pada masa ini beraksi sangat baik ketika memasuki usia 30-an dan menjaringkan gol dengan banyak,” kata Benzema yang akan berusia 34 tahun pada Disember ini.

“Bola sepak moden membenarkan ia berlaku,” katanya.

“Sememangnya satu kebanggaan berada dalam senarai 30 teratas pemain ini dan saya akan sentiasa berusaha mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

Perancis akan berdepan Sepanyol dalam final Liga Negara-Negara awal pagi Isnin ini. – AFP