Benzema muncul wira Real Madrid

MADRID, 21 DIS – Karim Benzema menjaringkan gol pembukaan dan mencipta dua peluang gol ketika membantu Real Madrid mencatat kemenangan 3-1 ke atas Eibar kelmarin untuk berkongsi mata dengan seteru mereka di puncak La Liga.

Benzema dan Luka Modric menjaringkan gol dalam 13 minit pertama perlawanan di laman lawan sekali gus mendorong pasukan bimbingan Zinedine Zidane mencatat empat kemenangan berturut-turut liga, manakala Lucas Vazquez menjaringkan gol ketiga pada akhir perlawanan sebelum Garcia Kike menyumbat gol sagu hati buat Eibar.

Real berada di belakang Atletico berdasarkan perbezaan gol, tetapi mereka mempunyai rekod pertemuan yang lebih baik.

Pasukan Diego Simeone, Atletico memiliki kelebihan dua perlawanan, dan mencatat kemenangan 3-1 pada Sabtu lalu menentang Elche.

Pasukan Barcelona yang menduduki tangga kelima kini ketinggalan lapan mata dengan pasukan dari Madrid selepas mencatat keputusan seri 2-2 pada hujung minggu lalu menentang Valencia.

Eibar memulakan perlawanan dengan baik, tetapi ketinggalan pada minit keenam selepas Rodrygo menghantar bola kepada Benzema yang kemudian menyumbat masuk ke gawang untuk mencetak gol ketujuh liga pada musim ini.

Benzema, yang dipuji oleh pengurusnya, Zidane sebagai penyerang Perancis terhebat pada awal minggu lalu, mencipta peluang gol kedua tujuh minit kemudian, membuat larian dan menghantar bola kepada Modric, yang selepas itu membuat percubaan menggunakan kaki kanan.

Penyerang tersebut mampu menggandakan jaringannya pada minit ke-16, tetapi bola hantaran lintang yang ditanduk tersasar keluar.

Vasquez melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan dengan penyudah tenang dari sudut yang sempit. – AFP

Aksi Karim Benzema ketika membuat percubaan semasa pertemuan menentang Eibar.- AFP