Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Beradu bakat menerusi nyanyian puisi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Kumpulan Sari Mengerna yang mempertandingkan puisi ‘Cinta di Laut Biru’ karya Haji Masri bin Haji Idris dinobatkan sebagai juara pertandingan Peringkat Akhir Pantaran Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 2022: Nyanyian Puisi sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76.

    Manakala itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Kumpulan Ala Dinamika dengan puisi ‘Tanah Air’ karya Basirah HB dan Awang Abdullah Wafi bin Haji Rusli yang mempertandingkan ‘Puisi Pemuda’ karya Akeem HGM.

    Pertandingan anjuran DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Bahagian Sastera dan Majalah dengan kerjasama Kumpulan Putra Seni itu diadakan di pentas perayaan kawasan letak kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja Bandar Seri Begawan, malam tadi.

    Hadir selaku tetamu khas sekali gus menyampaikan hadiah dan cenderamata kepada para pemenang dan panel hakim ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

    Turut hadir ialah pegawai kanan, pegawai dan kakitangan DBP, para penulis dan penggiat seni sastera tanah air.

    Awang Suip menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada majlis tersebut.
    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan nyanyian puisi yang berlangsung di kawasan letak kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja di Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Enam kumpulan menyertai pertandingan berkenaan yang terdiri daripada para belia dan anak muda yang berpotensi besar dalam seni pengucapan khususnya nyanyian puisi.

    Pertandingan terbuka kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam secara perseorangan atau berkumpulan.

    Penggabungan karya sastera dan muzik nyanyian dalam satu bentuk penyampaian dapat mengetengahkan nilai-nilai seni sastera, di samping sebagai apresiasi terhadap karya sastera penulis-penulis tanah air yang diterbitkan oleh DBP.

    Gabungan dua genre antara seni sastera dan seni muzik ini merupakan satu bentuk yang segar yang dapat dihayati oleh generasi pada hari ini.

    Secara tidak langsung, ia membudayakan masyarakat membaca dan melestari bahasa dan sastera Melayu dalam mendukung misi dan visi jabatan.

    Pertandingan berkenaan dihasratkan dapat membuka mata dan minda masyarakat bahawa karya sastera khususnya puisi bukan hanya sekadar lontaran bait-bait kata, tetapi akan lebih ‘hidup’ dengan mengadaptasi dalam bentuk atau genre nyanyian.

    Malah, dengan penghayatan terhadap kehalusan seni sastera dan nilai intelektual yang digarap oleh penulis melalui sajak atau puisi yang dihasilkan dapat meningkatkan lagi pemahaman khalayak.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...