KUCHING, 7 FEB – Polias menahan seorang lelaki berusia 26 tahun kerana disyaki sengaja membakar sebuah kereta dan dua buah motosikal di sebuah stesen minyak di Betong, kira-kira 254 km dari sini hanya kerana berang setelah mendakwa tidak menerima baki wangnya selepas mengisi minyak di stesen berkenaan.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Zamry Alli yang mengesahkan kes itu berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9 pagi apabila pekerja stesen minyak berkenaan enggan membayar balik baki wang kepada suspek yang sebelum itu mendakwa menyerahkan wang tunai RM100 untuk membeli minyak dan minuman ringan.
“Pekerja stesen itu pula mengatakan suspek belum membuat apa-apa bayaran untuk pembelian yang didakwanya itu, yang menyebabkan suspek marah dan bertindak membakar kenderaan-kenderaan di situ,” katanya ketika dihubungi Bernama. – Bernama




























