Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hari ini, telah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri AMBD yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke majlis ramah mesra itu dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar, ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD yang lain, ahli-ahli pengurusan serta para pegawai dan kakitangan AMBD.
Sejurus keberangkatan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli lembaga pengarah dan warga AMBD yang lainnya.
Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan pengurniaan cenderahati dan sijil penghargaan kepada warga AMBD yang telah bersara pada tahun 2011 sehingga 2017.






Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan melawat petak-petak pameran yang bertemakan ‘P.Ramlee’.
Duli Yang Teramat Mulia juga seterusnya berkenan menerima junjung ziarah daripada ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD, pengurusan kanan dan pegawai serta kakitangan AMBD.
Acara bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama seluruh warga AMBD serta untuk menggalakkan budaya dan suasana kerja yang penuh harmoni dan sentiasa bersatu padu.