Berangkat ke Majlis Sambutan Puja Usia

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Puja Usia Baginda anjuran Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Bangunan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan, Jalan Residency, di sini, petang ini.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah,Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Yang Di-Pertua MWNBD, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd Yusof yang juga selaku Pengerusi Majlis Sambutan Puja Usia Tahun 2018 bersama Naib Yang Di-Pertua I, II, III dan ahli-ahli Lembaga Tadbir MWNBD, yang di-pertua Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI), Persatuan Jururawat Brunei (PENJURU) dan Brunei Shell Ladies Association (BSLA).

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin diikuti dengan sembah alu-aluan Datin Hajah Dayang Siti Hajar.

Beliau antara lain menyembahkan, sepanjang tempoh dua tahun ini, MWNBD telah dapat melaksanakan dan menyertai beberapa kegiatan di dalam dan luar negara.

KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan dijunjung memotong kek Hari Puja Usia semasa berangkat ke Majlis Sambutan Hari Puja Usia Baginda anjuran Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Bangunan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan, Jalan Residency, petang kelmarin. Turut berangkat YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan YAM Pengiran Bini Hajah Faizah.
KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima pesambah.
KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima kad Hari Puja Usia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung bergambar ramai bersama Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam.

“Antaranya ialah Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, di samping lain-lain kegiatan yang dianjurkan oleh beberapa kementerian yang melibatkan penyertaan aktif majlis wanita seperti pada tahun ini sekali lagi menganjurkan Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bersama-sama dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan,” jelasnya.

Menurutnya, MWNBD terlibat dalam beberapa inisiatif kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui beberapa jawatankuasa, terutama sekali yang berkaitan dengan isu-isu kekeluargaan, wanita, kanak-kanak, warga emas dan lain-lain isu kemasyarakatan.

Di peringkat serantau dan antarabangsa, beliau menyembahkan, MWNBD juga melibatkan diri terutama sekali sebagai ahli kepada Gabungan Persatuan Wanita ASEAN (ACWO).

Sejurus selepas ucapan alu-aluan tersebut, Baginda Raja Isteri berkenan dijunjung memotong kek Hari Puja Usia diikuti dengan menyembahkan kad Hari Puja Usia dan pesembah daripada MWNBD, PEKERTI, PENJURU dan BSLA kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.

Majlis juga turut diserikan dengan persembahan nasyid dan Dikir Maulud oleh persatuan-persatuan dan diakhiri dengan junjung ziarah bersama ahli-ahli yang hadir.

MWNBD merupakan sebuah majlis kebangsaan bukan kerajaan yang dianggotai oleh 13 buah persatuan dan pertubuhan wanita di negara ini iaitu Pertiwi, Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI), Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP) Daerah Belait, Persatuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Badan Kebajikan Isteri-isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI), Badan Kebajikan Isteri-isteri Pegawai dan Kakitangan Wanita Kerajaan Brunei (BISTARI), Persatuan Ahli Perniagaan Wanita Daerah Tutong (PERGANITA), Persatuan Siswazah Wanita (PSW), Badan Kebajikan Wanita Perumahan Negara Lambak Kanan (BAKANITA), Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL), Persatuan Wanita Kampung Junjongan (PEWAJA) dan Persatuan Nurul Islam (PNI).

Seperti lazimnya setiap tahun, MWNBD bersama Persatuan PEKERTI, PENJURU dan BSLA meraikan Sambutan Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri dengan mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Sembahyang Berjemaah serta Membaca Surah Yasin pada 7 Oktober dan seterusnya acara kemuncak iaitu Majlis Sambutan Hari Puja Usia yang menggabungkan semua persatuan wanita untuk menyambut dan meraikannya.

Pada tahun ini, pelbagai persemba-han bercorak keagamaan dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana sambutan oleh ahli-ahli persatuan yang mengambil bahagian.

Lebih kurang 500 orang ahli telah menghadiri majlis berkenaan yang antara lain bertujuan untuk meraikan Sambutan Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri dengan penuh kesyukuran dan iringan doa semoga Baginda dilanjutkan usia, sentiasa sihat walafiat dan berbahagia serta menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas sokongan dan dorongan berterusan Baginda Raja Isteri terhadap kaum wanita di negara ini, khususnya MWNBD.