Thursday, October 10, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat ke majlis santap, CESP dan lancar setem

    REPUBLIK SINGAPURA, 13 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, malam ini berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan isteri, Loo Tze Lui di Gardens by the Bay, Republik Singapura.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia mula-mula dijunjung oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gardens by the Bay, Felix Loh dan seterusnya berangkat menuju ke Flower Dome.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia di Flower Dome dialu-alukan oleh TYT Lawrence Wong dan isteri, kemudian diikuti dengan lawatan ke Monet Exhibition (The Garden) sebelum meneruskan lawatan ke Impressions of Monet Experience.

    Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia kemudiannya berangkat bersama-sama Tuan Yang Terutama dan isteri ke Immersive Gallery (Flower Field Hall) bagi Majlis Santap Malam.

    MAJLIS SANTAP PETANG

    Terdahulu pada sebelah petang, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang yang dihoskan oleh Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam di Istana Villa, Republik Singapura.

    Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menandatangani buku pelawat dan kemudiannya berangkat ke Press Room, di mana keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh TYT Presiden Republik Singapura dan isteri dan seterusnya bergambar ramai.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri semasa berkenan mendengar sembah penerangan mengenai peralatan peribadi askar Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) ketika berangkat ke Pusat Kecemerlangan Prestasi Askar (CESP), Republik Singapura, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang yang dihoskan TYT Tharman Shanmugaratnam dan isteri di Istana Villa, Republik Singapura. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam yang dihoskan TYT Lawrence Wong dan isteri di Gardens by the Bay, Republik Singapura. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menghadiri Majlis Pelancaran Setem Komemoratif semasa kunjungan hormat kepada TYT Lawrence Wong di Delegation Room. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat mengadakan lawatan di Flower Dome. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bagi menyaksikan pameran semasa lawatan ke Leader’s Hall. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung berangkat bagi memeriksa perbarisan semasa lawatan ke CESP, Republik Singapura. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berangkat bersama-sama TYT Presiden Republik Singapura dan isteri ke Delegation Room bagi Majlis Santap petang.

    MAJLIS KUNJUNGAN HORMAT KEPADA PERDANA MENTERI REPUBLIK SINGAPURA

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan berangkat mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Lawrence Wong di Delegation Room.

    Semasa kunjungan hormat itu, Duli Yang Teramat Mulia dan Tuan Yang Terutama bertukar-tukar pandangan dan berbincang mengenai hubungan dua hala yang telah terjalin selama 40 tahun perhubungan diplomatik dan pada masa yang sama, 2024 merupakan tahun ke-10 pelaksanaan Program Pemimpin Muda (YLP).

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya melahirkan penghargaan kepada TYT Lawrence Wong atas sokongan dan komitmennya yang berterusan terhadap YLP.

    MAJLIS PELANCARAN SETEM KOMEMORATIF

    Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia dan Tuan Yang Terutama menghadiri Majlis Pelancaran Setem Komemoratif bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-40 Hubungan Diplomatik antara Brunei dan Singapura.

    Setem komemoratif itu, adalah hasil usaha sama Jabatan Perkhidmatan Pos Brunei dan Singapore Post, yang memaparkan reka bentuk dari Brunei dan Singapura.

    Setem reka bentuk dari Brunei menggambarkan pokok ficus elastica, yang ditanam bersama oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Singapura di Taman Mahkota Jubli Emas semasa Lawatan Negara Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam pada bulan Januari 2024.

    Manakala setem reka bentuk dari Singapura menggambarkan bunga dendrobium Hassanal Saleha, yang dinamakan sebagai penghormatan kepada Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ke Singapura pada bulan Ogos 2022.

    BERANGKAT KE CESP

    Sebelum itu pada sebelah pagi, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat melawat ke Pusat Kecemerlangan Prestasi Askar (CESP), Republik Singapura.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Kem Pasir Laba dijunjung oleh Menteri Negara Kanan Pertahanan Singapura, Tuan Yang Terutama Heng Chee How dan Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya Aaron Beng.

    Sejurus keberangkatan tiba, Duli Yang Teramat Mulia menerima tabik hormat dan seterusnya dijunjung berangkat oleh Ketua Perbarisan Welcome Guard bagi memeriksa perbarisan.

    Setelah selesai memeriksa perbarisan, Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya bergambar ramai dan seterusnya dijunjung ke Leader’s Hall, bagi menandatangani buku pelawat.

    Di Leader’s Hall, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengarkan sembah taklimat mengenai CESP yang disembahkan oleh Ketua CESP, Leftenan Kolonel Kanan, Russell Gan.

    Taklimat antara lain merangkumi tatacara CESP dalam meningkatkan prestasi ketenteraan dengan memanfaatkan sains dan teknologi untuk meningkatkan kecergasan, pemakanan, mencegah kecederaan, mengukuhkan ketahanan askar serta membangun sistem dan peralatan ketenteraan kepada menghasilkan prestasi yang optimum.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung bagi menyaksikan pameran statik yang sebahagiannya mempamerkan kelengkapan peribadi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), peralatan pemulihan dan sistem pemantauan suhu teras jarak jauh dan pemantauan denyutan jantung serta reka bentuk program kecergasan.

    Sebelum mengakhiri lawatan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bertukar-tukar cenderahati kenangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda