Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat ke Majlis Santap Negara

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Negara bagi meraikan Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina yang dihoskan oleh Presiden Republik Filipina, Rodrigo Roa Duterte di Istana Malacanang.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Presiden Duterte.

    Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan daripada Presiden Duterte mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Republik Filipina.

    Di dalam Majlis Santap Negara tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah yang antara lain melahirkan rasa gembira kerana dapat meraikan lawatan Presiden Duterte ke Negara Brunei Darussalam pada bulan Oktober 2016.

    Baginda menyuarakan bahawa pertukaran lawatan yang kerap di semua peringkat mencerminkan perhubungan yang rapat di antara kedua-dua buah Negara.

    Baginda juga menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina menikmati hubungan berpanjangan, khususnya dengan terjalinnya pertalian erat di antara rakyat.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada Majlis Santap Negara yang diadakan di Istana Malacanang, Manila.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada Majlis Santap Negara yang diadakan di Istana Malacanang, Manila.
    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Istana Malacanang, Manila bagi menghadiri Majlis Santap Negara yang dihoskan oleh Presiden Duterte.
    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Istana Malacanang, Manila bagi menghadiri Majlis Santap Negara yang dihoskan oleh Presiden Duterte.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengakui peranan 23,000 rakyat Republik Filipina yang berada di Negara Brunei Darussalam dalam memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia melahirkan kepercayaan bahawa hubungan ekonomi di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina akan terus berkembang dalam menyediakan suasana yang kondusif bagi peniaga-peniaga untuk bekerjasama dalam bidang-bidang seperti industri halal dan asas tani.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengesahkan semula komitmen Negara Brunei Darussalam untuk bekerjasama dengan Republik Filipina bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini, khususnya melalui penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Pasukan Pemantauan Antarabangsa di Selatan Filipina.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan sokongan penuh Negara Brunei Darussalam kepada Republik Filipina selaku pengerusi ASEAN di tahun 2017, yang bertepatan dengan sambutan ulang tahun ASEAN ke-50 pada tahun ini.

    Di akhir titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan ucapan selamat rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan berharap agar hubungan erat di antara kedua-dua buah negara dapat diperkukuhkan lagi.

    Di samping itu, Baginda Sultan juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang akan diadakan di Manila, Republik Filipina pada 29 April ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda