Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat melawat Batalion Gurkha

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 14 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Batalion Pertama The Royal Gurkha Rifles di sini hari ini.

    Keberangkatan lawatan Baginda itu menandakan berakhirnya perkhidmatan selama empat tahun batalion tersebut di negara ini dan peluang untuk anggota batalion itu menyembahkan ucapan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Batalion Pertama, The Royal Gurkha Rifles yang dianggotai oleh lebih 600 orang tentera itu telah ditugaskan di Negara Brunei Darussalam selama empat tahun sejak tahun 2013 dan akan digantikan oleh Batalion Kedua, The Royal Gurkha Rifles pada bulan Julai ini.

    Keberangkatan tiba BagindaSultan dengan helikopter di kawasan lapang Mes Pegawai di Jalan Maulana dijunjung oleh Komander Angkatan Tentera British, Leftenan Kolonel Charlie Crowe dan Mejar Gurkha, Mejar Shuresh Thapa MVO yang seterusnya menyembahkan untuk meletakkan kalungan tradisi rejimen yang berwarna-warni ke atas bahu Baginda Sultan.

    Sejurus keberangkatan Baginda berkenan menerima hormat diraja dan memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada anggota-anggota Royal Gurkha Rifles yang diketuai oleh Kapten Ganesh Kumar Gurung.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memeriksa perbarisan.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memeriksa perbarisan.
    Baginda Sultan berkenan mencuba memandu quad bike semasa berangkat mengadakan lawatan ke Batalion Pertama The Royal Gurkha Rifles, di Tuker Lines, Seria kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Baginda Sultan berkenan mencuba memandu quad bike semasa berangkat mengadakan lawatan ke Batalion Pertama The Royal Gurkha Rifles, di Tuker Lines, Seria kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Mejar Shuresh Thapa MVO ketika menyembahkan kalungan tradisi rejimen ke atas bahu Baginda Sultan.
    Mejar Shuresh Thapa MVO ketika menyembahkan kalungan tradisi rejimen ke atas bahu Baginda Sultan.

    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para pelajar Sekolah Hornbill.
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para pelajar Sekolah Hornbill.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat untuk beramah mesra dengan pelajar-pelajar sekolah.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat untuk beramah mesra dengan pelajar-pelajar sekolah.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesembah.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesembah.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah.

    Baginda kemudian berkenan menyempurnakan kenaikan pangkat Kapten bagi tiga orang Pegawai Waran. Juga hadir Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, David Campbell dan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

    Baginda Sultan juga telah berkenan mendengarkan sembah taklimat mengenai operasi dan aktiviti yang telah dilaksanakan oleh Batalion Pertama, The Royal Gurkha Rifles selama empat tahun berada di negara ini, sejak lawatan terakhir Baginda Sultan pada tahun 2013.

    Semasa keberangkatan tersebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah berkenan menyaksikan demonstrasi keupayaan operasi Company Raid yang terdiri daripada anggota-anggota Kompeni Batalion Rifle dan Platun Pakar Senjata termasuklah Platun Pengintipan, Penembak Tepat, Platun Tembakan, Platun Mesin Gan dan Platun Anti Kereta Kebal.

    Baginda juga turut menyaksikan operasi serangan antara tentera dan musuhnya, sebelum berkenan berangkat menyaksikan pengekstrakan ke arah tepi pantai dan keluar menuju ke laut dengan menggunakan bot Rigid Inflatable yang disediakan oleh Seksyen Bot Garrison.

    Baginda juga telah berkenan mendengarkan sembah penerangan mengenai dengan penggunaan quad bike sebelum Baginda mencuba memandu ATV (all terrain vehicle) tersebut di kawasan tepian pantai.

    Baginda Sultan dalam lawatan tersebut turut berkenan berangkat ke Pusat Komuniti Chit Chat dan seterusnya berkenan menyaksikan persembahan-persembahan tarian tradisional Nepal dipersembahkan oleh kanak-kanak Nepal yang merupakan anak-anak daripada anggota Batalion Pertama, The Royal Gurkha Rifles.

    Antara adegan-adegan yang dipersembahkan semasa lawatan tersebut.
    Antara adegan-adegan yang dipersembahkan semasa lawatan tersebut.

    Baginda juga turut berkenan menyaksikan pameran lukisan pelajar-pelajar Sekolah Hornbill dan beramah mesra dengan pelajar-pelajar sekolah berkenaan yang turut membuat persembahan Afrikan Drum.

    Semasa keberangkatan ke pusat komuniti tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah berkenan mendengarkan taklimat ringkas mengenai peranan dan aktiviti yang diadakan di pusat tersebut.

    Baginda seterusnya berkenan untuk menyaksikan pameran masakan tradisional Gurkha serta berkenan beramah mesra dengan ahli keluarga anggota tentera Batalion Pertama tersebut.

    Baginda Sultan mengakhiri lawatan hari ini dengan berkenan menerima pesambah menandakan tanda menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan yang telah disampaikan oleh Leftenan Kolonel Charlie Crowe.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu mencerminkan hubungan unik yang terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom berdasarkan kepercayaan, rasa saling menghormati dan kerjasama erat dalam bidang pendidikan, tenaga dan pertahanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda