Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 50 orang peserta mengambil bahagian dalam Seminar Wanita Dalam Sukan 2023 yang dianjurkan oleh Perwakilan Wanita, Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam melalui Jawatankuasa Kesaksamaan Jantina yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Berangkat untuk menyempurnakan perasmian seminar selama dua hari itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Dalam sembah alu-aluannya, Perwakilan Wanita, Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Penasihat Komiti Gender Equity (GEC), Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen menyatakan Komiti GEC ditubuhkan sebagai sebuah komiti yang bertanggungjawab untuk menyelaras program-program pendidikan dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan latihan perkembangan dan kompetensi wanita sebagai seorang pemimpin di dalam urus tadbir sukan.
Dalam hasrat untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam sukan, tambah Pengiran Siti Amal Jariah, komiti GEC menyeru supaya kaum wanita perlu tampik ke hadapan mengambil peranan dalam sama-sama memberikan sumbangan pembangunan sukan secara inklusif melalui penglibatan dalam pergerakan eksekutif Persatuan Sukan Kebangsaan.
“Pentingnya penglibatan wanita dalam sukan baik di peringkat penyertaan mahupun pentadbiran sukan sangat-sangat diambul perhatian serius dan diperbincangan di peringkat antarabangsa.”
Oleh itu, beliau berharap hasil daripada seminar itu akan membantu dalam pembentukan hala tujun dan menyediakan satu dasar Wanita dalam sukan untuk meningkatkan lebih banyak penyertaan atlet perempuan di dalam sukan dan seterusnya penyertaan wanita dalam komiti eksekutif persatuan-persatuan sukan.

Seminar yang membawa tema ‘Ke Arah Ekosistem Keseimbangan Jantina dalam Sukan Brunei’ diadakan selama dua hari bermula hari ini dan esok (22 November) yang disertai oleh seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada atlet kebangsaan, ahli-ahli jawatankuasa eksekutif daripada persatuan-persatuan sukan, pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan serta pihak-pihak berkepentingan dalam sukan Brunei.
Seminar itu menumpukan kepada dua bidang utama iaitu menggalakkan penyertaan atlet wanita dan menyokong wanita dalam peranan membuat keputusan dalam konteks sukan Brunei.
Ia juga bermatlamat untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran semua terutama dalam kalangan wanita mengenai pentingnya mengambil bahagian dalam sukan dan melibatkan diri dengan memegang jawatan kepimpinan dalam persatuan.
Seminar dua hari itu juga bertujuan untuk menggalakan kesaksdamaan jantina dan meningkatkan program untuk menyokong wanita dalam sukan.
Diilhamkan oleh tema Hari Olimpik Antarabangsa 2023, ‘Bersama untuk dunia yang aman’, Jawatankuasa Kesaksamaan Jantina berhasrat untuk meningkatkan peluang bagi wanita di Brunei bagi mencapai akses dan penyertaan yang sama dalam semua bidang sukan bersama rakan-rakan lelaki sebagai satu pasukan untuk menyokong atlet dan persatuan sukan.
