Tuesday, April 29, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat tiba di Kedah Darul Aman

    Gambar oleh Infofoto

    ALOR SETAR, Kedah, 21 Okt – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah hari ini berangkat tiba di Alor Setar, Kedah Darul Aman bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke-29.

    Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

    Berangkat ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani ibni Al-Marhum Sultan Badlishah.

    Turut hadir bagi bagi menjunjung keberangkatan tiba ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Haji Mukhriz bin Tun Dr Mahathir dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Mohd Taha dan datin.

    Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan berangkat melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada para anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

    Selepas itu, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Sohibus Samahah Datuk Sheikh Fadzil bin Haji Awang.

    Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan dijunjung menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Alor Setar, tempat persemayaman di sepanjang keberangkatan.

    Terdahulu, pagi tadi di Bandar Seri Begawan, sejurus sebelum berangkat ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

    Berangkat dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; menteri-menteri kabinet; pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan setiausaha-setiausaha tetap.

    DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dialu-alukan oleh Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Dato Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani ketika keberangkatan tiba di Alor Setar, Kedah Darul Aman bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke-29. Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah anakanda, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah. – Gambar oleh Infofoto.
    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah berkenan menerima junjung ziarah sebelum berangkat ke Alor Setar, Kedah Darul Aman bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin, Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke-29. – Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Pengiran Muda Mahkota, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah berkenan menerima junjung ziarah semasa keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, kelmarin.
    DYTM Pengiran Muda Mahkota, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah berkenan menadahkan tangan semasa Doa Selamat dibacakan sebelum keberangkatan ke Kedah.
    DYTM Pengiran Muda Mahkota, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah semasa berkenan berangkat melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik, Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda