Berani buat berani tanggung

KUALA LUMPUR, 27 MEI – Mereka yang terperangkap di kampung sewaktu musim perayaan ini akibat melanggar larangan rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kini mungkin tidak senang duduk malah dalam dilema membuat pilihan.

Ini berikutan laporan media yang memetik kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan sebagai berkata, pekerja swasta yang terlibat dengan kesalahan itu boleh dibuang kerja jika tidak kembali bertugas ke pejabat selama lebih dua hari berturut-turut.

Bagi penjawat awam pula, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dilaporkan berkata, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib jika tidak kembali bekerja selepas Aidilfitri kerana terperangkap di kampung, akibat melanggar larangan rentas negeri.

Jika tidak balik bekerja, boleh dikenakan tindakan tatatertib, atau lagi teruk boleh hilang kerja, tetapi jika mahu balik bekerja, akan ‘kantoi’ sebab telah melanggar PKPB, malah terpaksa membayar kompaun pula.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata mana-mana pihak yang sudah pulang ke kampung sempena cuti perayaan dinasihatkan untuk tidak takut dengan kompaun dan tindakan undang-undang.

Beliau berkata mereka perlu pulang atau berdepan risiko hilang pekerjaan, namun tindakan yang bakal dikenakan terpulang kepada polis memandangkan sekatan jalan raya akan terus dikekalkan.

“Jadi pilihan terletak di tangan anda, berani buat beranilah tanggung,” ujarnya. – Bernama

Anggota polis memeriksa surat kebenaran rentas negeri daripada salah seorang pemandu kenderaan dalam sekatan jalan raya di susur keluar Plaza Tol Gurun, kelmarin. – Bernama