Berani meredah kesejukan, meluncur ombak laut Artik

NORWAY – “JIKA anda berenang lalu naik dari laut Artik, pastinya anda akan terasa sangat sejuk membeku,” kata Unn Holgersen, yang telah melakukan aktiviti papan luncur hampir setiap hari di kawasan berombak tinggi di kawasan pantai di kepulauan Norway, yang terletak berdekatan dengan kawasan Artik.

Keadaan sangat sejuk di kawasan ini malah kawasan ini sangat terkenal sebagai sebuah lokasi yang mempamerkan fenomena Cahaya Utara di horizon yang menakjubkan dan berwarna hijau. Manakala suhu airnya pula empat darjah Celsius iaitu (39 Fahrenheit).

“Kadang kala anda perlu meletakkan wajah anda di sebuah baldi yang diisi dengan air yang panas dan anda perlu menukar pakaian anda dengan cepat sekali,” kata doktor haiwan yang berusia 32 tahun itu kepada media AFP.

Walaupun keadaan amat sejuk dan lokasi ini yang agak terpencil, namun Holgersen telah memilih untuk tinggal di Pulau Lofoten disebabkan oleh ketagihannya untuk melakukan aktiviti papan luncur di kawasan air laut yang sangat sejuk.

Tidak ada halangan

Kelihatan di sepanjang kawasan pantai, warna putih hampir menutup permukaan pantai tersebut, namun Holgersen dan beberapa penggemar sukan tersebut terus meredah keadaan cuaca yang sejuk, di mana keadaan cuaca dianggarkan sekitar -15 darjah Celsius namun keadaan cuaca itu tidak menghalang penggemar aktiviti ini untuk meredah keadaan laut yang mengganas.

Unstad merupakan kawasan yang sangat digemari oleh kebanyakan peminat papan luncur disebabkan persekitarannya yang menakjubkan. – AFP

“Saya sangat suka akan keadaan ini walaupun kami berdepan dengan keadaan suhu yang sangat sejuk dan membeku,” kata salah seorang penggemar aktiviti itu kepada media selepas meredah ombak laut.

Berikutan dengan kehebatan pantai tersebut yang dikongsi oleh beberapa individu yang telah berkunjung di kawasan pekan Unstad di pulau tersebut, beberapa orang pelajar telah berkunjung ke kawasan itu.

Christina Kolbu dan Solmoy Austbo, dua orang pelajar telah mengembara ke kawasan ini selama tiga hari dengan menggunakan mini van untuk mendekati dan merasakan sendiri akan kehebatan aktiviti sukan tersebut.

Sejurus sahaja sampai di kawasan tersebut, mereka berdua terus menukar pakaian mereka dan memakai pakaian baju mandi yang dikhaskan untuk musim sejuk serta membawa papan luncur mereka dan terus berendam di dalam laut menunggu kehadiran ombak yang besar. Walaupun terasa sangat sejuk, namun mereka berdua tidak ragu-ragu untuk terus meredah dan berendam di air yang sangat sejuk itu.

Laut Unstad yang terletak di kawasan Artik dan sebaris latitud dengan Utara Siberia dan Alaska masih dapat dilalui dan dikunjungi oleh orang ramai walaupun lokasinya berdekatan dengan Gulf Stream. – AFP
Kawasan ini sangat terkenal sebagai sebuah lokasi yang mempamerkan fenomena Cahaya Utara di horizon yang menakjubkan dan berwarna hijau. – AFP

Lokasi yang sangat digemari

Selepas sahaja mereka selesai melakukan aktiviti itu, Christina dan Solmoy mengangkat papan luncur mereka dan berlari di kawasan pantai serta ditemani dengan turunan salji yang tebal di persekitaran mereka.

Unstad merupakan kawasan yang sangat digemari oleh kebanyakan peminat papan luncur disebabkan oleh persekitaran kawasan tersebut yang menakjubkan dan mempamerkan satu pemandangan alam sekitar yang indah serta dikelilingi dengan bukit-bukit yang ditutupi dengan himpunan salji.

Terletak di kawasan atas Artik dan sebaris latitud dengan Utara Siberia dan Alaska, laut Unstad masih dapat dilalui dan dikunjungi oleh orang ramai berikutan lokasinya yang berdekatan dengan Gulf Stream, iaitu laut panas yang mengalir di kawasan Atlantik menuju ke kawasan persisiran pantai Norway.

“Melakukan aktiviti papan luncur merupakan satu gaya hidup, dan ia merupakan satu kemestian, kami mempunyai keadaan ombak yang baik, berkualiti dan ia lazimnya sangat besar serta sangat konsisten,” kata Lisa Blom yang berusia 38 tahun dan juga seorang pengurus sebuah hotel di kawasan pekan tersebut.

Sesetengah peluncur mengatakan bahawa keadaan ombak di kawasan ini sangat baik berbanding di beberapa kawasan di Selatan Benua Eropah atau Bali.

“Di sini, langit sentiasa cerah dan bersinar, tidak begitu ramai orang dan pemandangan juga sangat cantik serta menakjubkan. Ia menawarkan satu pakej yang penuh dan menyeluruh untuk anda terokai,” tambah Holgersen lagi kepada media. – AFP