Beranikan diri selami dunia dimonopoli wanita

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Muiz Matdani

Bila menyebut jurusolek, terjelma di minda kita ia lebih berkaitan dengan kaum hawa yang mahu memastikan kecantikan menyerlah gadis, wanita yang ditatarias untuk majlis-majlis tertentu dan pada hari bersejarah mereka.

Namun ia kini bukan sahaja dimonopoli kaum hawa, malah lelaki tidak kurang hebatnya meniti dunia keusahawanan tata rias ini.

Siapa sangka, bermula daripada hanya suka-suka untuk menata rias wajah insan-insan terdekatnya suatu ketika dahulu, Awang Muhammad Shahroom bin Hamzah kini menjadikannya sebagai platform menerokai dunia keusahawanan tatarias ini.

“Sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan adalah pencetus semangat saya untuk menerokai bidang seni solekan ini. Bahkan semangat juang ini semakin teguh, lebih-lebih lagi dengan adanya peluang keemasan yang tidak putus-putus untuk saya menyertai pelbagai jenis kursus solekan dan hiasan pengantin dari semasa ke semasa dan ia telah menjadikan seni ini sebagai satu kerjaya sepenuh masa dalam kehidupan saya sehingga kini.

“Sebenarnya, setiap pekerjaan mempunyai pro dan kontra. Bagi golongan lelaki khususnya, jangan malu bergelar jurusolek. Pokok pangkalnya ialah usaha kerana rezeki tidak datang bergolek,” antara kata-kata yang terucap daripada pemuda menghampiri usia 20 tahun ini, semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Keanggunan terserlah melalui kemahiran solekan ditampilkan Awang Muhammad Shahroom.
Selain menawarkan perkhidmatan solekan dan juruhias pengantin, usahawan jurusolek jejaka ini turut aktif mengadakan kelas-kelas solekan kepada mereka yang berminat.

Cantik seindah mata memandang

Memerlukan daya kreativiti yang kuat untuk mewujudkan nilai estetika satu solekan yang dihasilkan pada wajah seseorang. Itulah pegangan yang sentiasa bersemadi dalam setiap sentuhan solekan yang ditampilkan oleh Awang Muhammad Shahroom.

Dengan memegang amanah yang besar dalam menghias wajah para pelanggannya agar terlihat cantik seindah mata yang memandang, beliau menyatakan bahawa keaslian produk amat penting dititikberatkan dan teknik-teknik solekan juga diaplikasikan mengikuti kesesuaian bentuk dan wajah mereka.

“Salah satu perkara yang perlu dipastikan sebelum menata rias wajah para pelanggan ialah dengan memastikan wajah mereka dalam keadaan yang lembap. Manakala penggunaan warna toner perlulah mengikut kesesuaian kulit para pelanggan.

“Begitu juga warna-warna pembayang mata dan pipi serta bibir mestilah sentiasa melihat kepada kesesuaian kulit masing-masing,” tambahnya yang turut menawarkan perkhidmatan juruhias pengantin dan juga aktif mengadakan kelas-kelas solekan.

Kebersihan satu keutamaan

Selain itu, Awang Muhammad Shahroom juga menekankan bahawa apa yang penting ialah kebersihan dari segi penggunaan alat-alat solekan itu, yang mana menjadi keutamaan beliau sebelum menata rias wajah seseorang.

Ia amat penting diamalkan demi untuk menjamin keselamatan serta kesihatan wajah insan yang perlu disoleknya.

Dalam pada itu, pemuda yang bersemangat tinggi ini juga sentiasa memantapkan kemahiran dengan lebih mendalam dari semasa ke semasa iaitu dengan mengikuti pelbagai kursus atau kelas solekan dan hiasan pengantin bersama ahli-ahli solekan yang profesional di samping sentiasa melakukan latihan secara praktikal menerusi pembelajaran secara dalam talian seperti Youtube dan Instagram.

Teruskan perjuangan, jangan berputus asa

Memegang konsep bahawa perjuangan perlu untuk meraih segala impian dan cita-cita dengan penuh kesabaran, beliau turut menitipkan nasihat kepada usahawan belia.

“Percaya diri sendiri dan terimalah segala kekurangan sebagai satu kelebihan untuk memperbaiki diri sehingga secara tidak langsung mampu memberi inspirasi kepada insan yang lain.

“Itulah antara prinsip yang perlu disemai dalam diri di samping sentiasa berusaha tanpa jemu untuk meningkatkan ilmu dalam apa sahaja yang diceburi tidak kira bidang solekan atau apa sahaja,” tambahnya.

Beliau turut menaruh impian untuk mengembangkan sayapnya ke arena antarabangsa dan memiliki butik berkonsepkan dunia seni kecantikan pada masa akan datang semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis.