Beras sembada 188 mula dijual

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Beras Sembada 188 yang dihasilkan oleh 10 orang pengambilan kohort pertama Projek LiveWIRE AgroBiz mula dijual, hari ini, dengan majlis pelancaran penjualan yang berlangsung di Pusat YES, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kampus Perniagaan.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sepanjang pembelajaran peserta Projek AgroBiz di IBTE Kampus Agro Teknologi (IBTE ATC), mereka telah diberikan pendedahan mengenai teknologi memajukan pertanian padi termasuk penggunaan peralatan dron serta cara pentadbiran ladang dan pengenalan penggunaan kaedah pengeringan hasil padi dan pemprosesan beras termasuk pembungkusan beras secara automatik.

Beras yang dihasilkan semasa projek berkenaan merupakan beras berkualiti tinggi kerana ia ditanam tanpa menggunakan sebarang racun serangga berasaskan kimia selain memperkasakan pertanian mampan dengan penggunaan bahan alam semula jadi dan organik.

Selain itu, pelajar juga didedahkan kepada program-program keusaha-wanan seperti Bright Ideas, Pelan Perniagaan Bersiri, Kem Kepimpinan dan bengkel visioning daripada LiveWIRE Brunei.

Dr Haji Azman, Dr Haji Mohd Zamri dan Hajah Rosita hadir semasa majlis pelancaran penjualan beras Sembada 188 yang berlangsung di Pusat YES, IBTE Kampus Perniagaan.
Beras Sembada 188 dihasilkan oleh 10 orang pengambilan kohort pertama Projek LiveWIRE AgroBiz.

Pemangku Pengarah IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli yang juga ketua pegawai eksekutif dalam ucapannya menjelaskan, matlamat projek berkenaan diharap dapat menyumbang ke arah strategi kebangsaan dalam memastikan kemapanan makanan di negara ini dengan sasaran mencapai 30 peratus sara diri dalam penghasilan padi menjelang 2025.

Beliau turut menjelaskan bahawa bagi memantau kemajuan projek berkenaan, “Satu ahli jawatankuasa pandu telah ditubuhkan dan pengurus projek telah dilantik bagi memantau kemajuan serta pelaksanaan projek ini.”

Beliau seterusnya menambah, projek yang pada asalnya dijangka berjalan selama tiga tahun dan kini dilanjutkan kepada lima tahun dengan mengambil kira masa untuk menyediakan serta menyiapkan tapak kawasan tanaman padi.

“Ianya juga dijangka dapat memberi 10 kitaran penghasilan padi seterusnya dapat melahirkan 100 orang agropreneur untuk memajukan ladang padi bersekala komersial serta rangkaian bekalan yang mampan bagi penghasilan padi yang kompetitif”.

Sementara itu, Pengerusi LiveWIRE Brunei dan Pengurus In-Country Value (ICV) Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Hajah Rosita binti Hassan semasa berucap pada majlis tersebut antara lain menjelaskan bahawa projek rintisan penanaman padi berkenaan adalah bagi menyahut seruan negara untuk meningkatkan kadar pengeluaran beras negara.

Beliau mengongsikan bahawa projek berkenaan telah menghasilkan sebanyak 7 tan metrik per hektar padi semasa musim penuaian pertama pada Februari lalu. Penghasilan tertinggi yang direkodkan adalah sebanyak 8.3 tan metrik per hektar iaitu pada hari penuaian pertama.

Ini secara tidak langsung telah menjadi pembakar semangat kepada peserta supaya memperbaiki lagi penanaman padi untuk penuaian pada musim kedua nanti.

Antara matlamat projek adalah untuk membekalkan usahawan-usahawan pertanian muda dengan ilmu pengetahuan teknikal yang mencukupi dalam bidang penanaman padi dan mengembangkan lagi kemahiran mereka untuk memajukan ladang padi mereka sendiri.