BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini mengesahkan maklumat yang tular mengenai ‘Beras Wangi yang mengandungi neonicotinoids adalah tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihak kementerian tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas penyebaran maklumat melalui aplikasi media sosial, WhatsApp, baru-baru ini, di mana ia juga menghendaki orang ramai untuk mengelakkan daripada menggunakan beras tersebut kerana ia mengandungi tahap kimia neonicotinoids yang tinggi.
Maklumat palsu tersebut juga memuatkan logo dan laman sesawang Kementerian Kesihatan dengan tujuan untuk membuatkan makluman tersebut kelihatan rasmi dan seolah-olah ia dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan melalui Jabatan Perbendaharaan dalam usahanya memastikan beras-beras yang dibekalkan ke negara ini adalah selamat, di mana setiap penghantaran beras ke negara ini adalah disertakan dengan ‘Phytosanitary Certificate’ dari Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja dan Kementerian Pertanian dan Koperatif Bangkok, Thailand dan ‘Certificate of Quality’ yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di negara-negara berkenaan sebagaimana yang dikehendaki di dalam kontrak perjanjian.
Orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat- maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti WhatsApp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya.