KANAK-KANAK lelaki itu mencapai sehelai baju-T berwarna biru untuk disarungkan pada badannya, namun ia kelihatan cukup ketat dan sendat.
Beberapa saat kemudian, dia menanggalkan pakaian tersebut sebelum mencapai sehelai lagi baju-T lain untuk disarungkan. Bagaimanapun, pakaian berwarna putih itu juga ketat dan kelihatan tidak selesa untuk dipakai. Itulah keadaan yang terpaksa dilalui Jake Vella, 8, berikutan saiz badannya yang semakin membesar biarpun dia mengawal pemakanan serta kerap melakukan senaman.
Vella disahkan menghidap penyakit yang dipanggil ROHHAD (Rapid-onset Obesity with Hypothalamic Dysfunction, Hypoventilation and Autonomic Dysregulation) yang menyebabkan berat badannya naik secara mendadak dalam tempoh yang pendek. Ia akan menjadikan degupan jantung pesakitnya menjadi perlahan, selain mengganggu kadar air yang disimpan dalam badan. Pesakit juga akan kerap berpeluh atau berpeluh dengan sangat banyak, selain memiliki anak mata yang terlalu sensitif terhadap cahaya.
Berat naik mendadak
Penghidapnya juga berkemungkinan besar mendapat komplikasi kesihatan lain seperti tumor pada bahagian badan. Lebih teruk, ramai penghidap penyakit ini tidak mampu melepasi usia 20 tahun kerana saiz badan mereka yang besar menyukarkan pergerakan.
Bagi Vella, semuanya bermula pada tahun 2015 apabila ibunya, Maruska menyedari berat badan anak lelakinya itu semakin bertambah biarpun dia menjaga pemakanannya.


“Anak saya menjalani kehidupan sama seperti kanak-kanak normal yang lain. Dia pergi ke sekolah, bermain dengan rakan-rakan dan cukup teruja setiap kali menghadiri kelas bermain dram.
“Walaupun dia menjaga pemakanan dan bergerak aktif, berat badannya terus meningkat sehingga membimbangkan saya,” ujar Maruska.
Selepas dibawa ke hospital, doktor kemudian mengesahkan Vella menghidap ROHHAD yang boleh membawa maut. Penyakit tersebut dianggap aneh dan ia hanya membabitkan kira-kira 100 orang di seluruh dunia.
Bagi menangani masalah tersebut, Vella terpaksa melakukan senaman berat yang cukup membebankan.
“Vella terpaksa melakukan senaman berbasikal selama tiga kali seminggu bagi membolehkan dia membakar kalori dengan cepat dan banyak.
“Selain itu, ia juga membina keyakinan diri Vella kerana dia sering berasa rendah diri akibat saiz badannya yang besar itu,” ujar Maruska.
Beri semangat
Tambah ibu muda itu lagi, biarpun sukar, Vella tetap bersemangat untuk mengikuti latihan berbasikal demi melawan penyakitnya.
“Saya bersyukur kerana Vella ditemukan dengan jurulatih yang baik serta tidak putus-putus memberikannya dorongan untuk terus menjalani kehidupan yang aktif,” ujar Maruska.
Pelatihnya, Matt Azzopardi melahirkan rasa simpati terhadap apa yang menimpa Vella.
“Vella merupakan kanak-kanak yang kuat. Biarpun sukar, dia tetap berdedikasi semasa proses latihan.
“Saya cukup sedih apabila memikirkan apa yang perlu dilalui oleh kanak-kanak tersebut,” ujarnya.
Azzopardi menambah, dia juga terpaksa melakukan beberapa perubahan dalam jadual latihan Vella bagi memastikan ia tidak memburukkan lagi kesihatan kanak-kanak itu.
“Saya perlu memastikan degupan jantung Vella berada dalam keadaan normal kerana jika ia terlalu laju, sistem saraf kanak-kanak itu mungkin akan terganggu.