Berat badan susut akibat putus cinta?

Melihat imej dan penampilan terbaharu, nyata usaha pelakon, pelawak dan pengacara popular, Sherry Alhadad, 36, menurunkan berat badan semakin berhasil.

Bukan sahaja tubuh gempal yang menjadi ‘tanda dagang’ mula menyusut, malah Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad kelihatan cukup bergaya.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan bentuk badan yang sesuai bukan sedikit pengorbanan dilakukan pengacara program The Sherry Show itu. Selain menjaga pemakanan, Sherry kerap bersenam sambil dibantu dengan pengambilan produk pelangsingan badan.

Di sebalik kesungguhan mendapatkan bentuk badan ideal, selain menjaga kesihatan lebih baik timbul persepsi nakal mendakwa, Sherry mahu kurus kerana berhasrat mencari cinta. Saat diajukan persoalan kepada empunya diri, pemenang Artis Komedi Popular dan Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33 itu hanya tergelak besar.

Pantas menafikannya, Sherry mendedahkan, dia masih belum bertemu dengan lelaki yang sesuai dijadikan calon suami sehingga saat ini.

Sherry mendedahkan dia masih belum bertemu dengan lelaki yang sesuai dijadikan calon suami sehingga saat ini. – Agensi

“Saya masih single dan sukar mahu cari kekasih. Mungkin sifat kelakar saya menimbulkan keraguan pada lelaki apakah saya boleh serius dalam percintaan. “Namun, berdasarkan situasi getir COVID-19, bagaimana mahu mencari jodoh? Dua tahun berlalu begitu sahaja. Ditambah pula, saya hanya bertemu orang yang sama setiap hari. Takkanlah sampai tahap mahu menggunakan aplikasi cari jodoh, Tinder,” katanya kepada media.

Diusik pertanyaan apakah salah sekiranya menggunakan kaedah cari jodoh dalam talian sebagai salah satu usaha untuk mencari pasangan hidup, ibu saudara kepada pelakon Sharifah Haslinda, Sharifah Shahirah dan Sharifah Sakinah itu mendedahkan, dia pernah terdetik mahu mencuba cara itu.

“Saya diperkenalkan seorang teman mengenai kewujudan aplikasi cari jodoh berkonsepkan Islam. Walaupun saya sangat skeptikal dengan cara ini, tetapi saya cuba mendapatkan maklumat terperinci mengenainya. “Namun, apabila memikirkan kesan pada kemudian hari, ditambah pula tidak mahu dilihat berpura-pura, saya batalkan sahaja niat ini. Jika boleh, saya lebih suka mengenali seseorang secara berdepan berbanding menerusi aplikasi WhatsApp dan foto,” katanya.

Meskipun dilihat cukup komited dengan kerjaya dan menjadi antara selebriti terlaris, bekas graduan Ijazah Seni Persembahan Teater, Akademi Seni Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu tidak mahu menjadikan alasan kerjaya sebagai halangan untuknya mencari jodoh dan bercinta.

Diajak berbicara sejarah kisah cinta, Sherry berkata, dia pernah bercinta sebanyak dua kali, namun semuanya berakhir di pertengahan jalan.

“Kali pertama mungkin boleh dikatakan cinta monyet, manakala cinta kedua pula berputik ketika saya menuntut di ASWARA. Kami berpisah bukanlah disebabkan bentuk badan kerana dia menerima saya seadanya. “Kami putus kerana si dia mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara. Alasannya saya anggap sangat tipikal. Masa itu, saya memang sangat kecewa.

“Berat badan saya turun sebanyak 25 kilogram dan keputusan peperiksaan juga terjejas gara-gara putus cinta,” cerita anak jati Kuala Lumpur ini.

Sama seperti penggiat seni lain, pelaksanaan Fasa Satu PPN turut menghalang pelakon yang diperkenalkan menerusi telefilem Sutun pada 2006 meneruskan aktiviti seni sehingga satu tempoh yang belum ada kepastian. Akuinya, situasi itu sedikit sebanyak memberikan kesan emosi dalam dirinya.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Gol dan Gincu Vol 2 dan Bikin Filem itu sedang sibuk menyiapkan drama bersiri, The Maid 2. Sejak mengamalkan diet, berat badan Sherry menyusut sebanyak 13 kilogram. Sherry masih menaruh harapan program All Together Now Malaysia kendaliannya yang dihentikan tayangan, bulan lalu dapat disiarkan semula kerana ia menguji kemampuannya berdiri sebagai pengacara solo. – Agensi