Berat hati tutup burger bakar

Hajat pelakon dan penyanyi bermata cantik, Maya Karin mahu meluaskan perniagaan menjual burger bakar yang diusahakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa terhenti apabila ada pihak yang cuba menangguk di air keruh atas usahanya.

Mulai 1 Ogos lalu, pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu mengumumkan perniagaan burger bakar terpaksa dihentikan operasi.

Biarpun berat hati melepaskan perniagaan diusahakan sejak tiga bulan lalu itu, namun pelakon yang diangkat Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem & TV Ramsgate itu tiada pilihan. Penghantaran burger bakar ke Maahad Tahfiz Lil Aytam menjadi destinasi terakhir.

Maya berkata, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas usahanya. Bagaimanapun, enggan mendedahkan secara terperinci apa yang dimaksudkannya, biarpun beberapa kali cubaan mengorek perkara sebenar yang terjadi.

“Saya menyimpan harapan besar untuk meluaskan cawangan perniagaan burger bakar. Namun, apakan daya, kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

“Siapa tak sedih apabila jadi begini. Biarpun, awalnya saya membuka perniagaan burger bakar hanya suka-suka dan secara kebetulan. Tak sangka perniagaan ini tular dan disukai ramai.

“Ke mana sahaja melangkah, tak kira golongan apa termasuk profesional bertanya dan menyebut burger bakar.

“Cuma, apa yang membuat saya terkesan hingga memilih untuk menghentikan operasi perniagaan ini biarlah saya simpan dalam hati. Biasalah, ada yang cuba ambil kesempatan apabila sesuatu mula menampakkan hasil yang baik,” katanya.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke berkata, dia begitu komited memastikan perniagaan burger bakar berkembang dengan baik. – Agensi

Pelakon Maya Karin mengumumkan perniagaan burger bakar terpaksa dihentikan operasi pada 1 Ogos. – Agensi