Beraya dalam talian erat silaturahim

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kemeriahan suasana Hari Raya Aidilfitri masih dirasakan walaupun seluruh dunia berdepan dengan pandemik Covid-19 yang telah sedikit sebanyak merubah dan menjejaskan aktiviti kehidupan harian.

Dalam mematuhi larangan dan saranan daripada pihak berkenaan bagi mengawal penularan Covid-19 ini, bekas peserta Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) 2002 telah menggunakan platform internet bagi perkumpulan dalam talian sempena Hari Raya Aidilfitri untuk menghilangkan kerinduan seterusnya mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada.

Salah seorang bekas peserta, Amal Amin menjelaskan, perkumpulan beraya menerusi Zoom itu adalah idea daripada bekas peserta SSEAYP 2002, dari Singapura, Jojie, setelah melihat banyak yang menggunakan kaedah bersua mua menerusi internet ini dapat mengeratkan hubungan dan mengetahui perkembangan masing-masing.

“Setelah 18 tahun berlalu, keakraban masih tetap ada selain berkomunikasi menerusi WhatsApp dan berkunjung ke negara-negara sahabat dapat menghilangkan kerinduan masing-masing.

“Walaupun ada bekas peserta yang berada di Amerika Syarikat, Australia dan juga Kemboja ketika ini, ia tidak menjadi halangan untuk bekas-bekas peserta dari lima buah negara ini untuk berkomunikasi dan berhari raya dalam talian,” tambahnya.

Negara-negara yang menyertai acara beraya dan bersua muka menerusi Zoom bagi bekas peserta SSEAYP 2002 itu adalah Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Amal Amin seterusnya berharap, usaha sedemikian akan dapat diteruskan dan akan dilaksanakan dalam kalangan bekas peserta SSEAYP 2002 pada masa akan datang.

Bekas peserta SSEAYP 2002 berhari raya menggunakan Zoom.