Beraya di rumah yang salah

Setiap kali Aidilfitri menjelma, Andi Bernadee pasti teringatkan kejadian dirinya dan keluarga beraya di rumah yang salah. Penyanyi lagu Donde itu berkata, insiden yang berlaku ketika mereka meraikan Hari Raya di kampung halaman di Sabah, beberapa tahun lalu, tetap segar di ingatannya.

“Banyak sebenarnya kenangan tidak dapat dilupakan apabila bercerita mengenai sambutan Hari Raya. Paling diingati adalah insiden kami sekeluarga beraya di rumah yang salah. Perancangan asalnya, saya ingin berkunjung ke rumah seorang rakan untuk beraya, namun tersalah masuk simpang. Sehinggalah masing-masing selesai makan, tuan rumah yang dikenali tidak juga kelihatan. Ketika bersalaman apabila hendak pulang, barulah kami perasan, tersalah rumah rupa-rupanya. Terbahak-bahak kami sepanjang perjalanan pulang kerana tidak sangka, kami beraya di rumah orang yang tak dikenali. Sehingga ke hari ini, pengalaman itu masih segar di minda kami sekeluarga,” katanya media.

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Andi berkata, dia bercuti selama 10 hari untuk bersama keluarga di kampung. Penyanyi berusia 28 tahun ini mula menjadi perhatian ramai apabila menyanyikan lagu parodi Tak Tun Tuang, pada 2017.

Kini, dia sedang mencari lagu terbaik untuk dijadikan single terbaharu yang diharap dapat membawanya ke pentas Anugerah Juara Lagu. – Agensi

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Andi berkata, dia bercuti selama 10 hari untuk bersama keluarga di kampung. – Agensi