Berbadan besar juga boleh bergaya

Oleh Adiiwira

Harapan memiliki badan yang sasa dan segak merupakan idaman bagi sesetengah kaum lelaki.

Hal ini kerana memiliki potongan badan begitu menampakkan diri lebih macho, bergaya dan aktif dalam bidang sukan. Malah dengan memiliki potongan badan begitu juga dengan mudah memilih saiz pakaian di kedai-kedai.

Namun, adakah lelaki berbadan besar tidak mampu kelihatan macho dan bergaya? Adakah bergaya hanya untuk orang yang berbadan sasa?

Jika pembaca mengatakan ‘ya’, tanggapan itu sudah salah. Tiada istilah di dunia ini bergaya hanya untuk orang segak dan berbadan sasa. Malah, orang berbadan besar ini juga dikatakan menarik seperti trademark pelawak Malaysia, Abam Bocey mengatakan “Gemuk is awesome”.

Justeru, bagi lelaki yang berbadan gempal atau berisi tidak usah malu dan khuatir dengan diri anda. Anda perlu bangkit dan yakin bahawa anda juga mampu menonjol dengan gaya anda sendiri. Di dalam ruangan ini penulis ingin mengongsikan beberapa tip yang dapat membantu anda dalam pemilihan pakaian yang sesuai:

Lelaki berbadan besar boleh saja memilih pelbagai warna untuk dipakai selain hanya memilih warna hitam. – Agensi
Dengan menempah pakaian di tukang jahit ini akan membantu anda mendapatkan pakaian mengikut selera dan keselesaan anda sendiri tanpa was-was. – Agensi
Dengan teknik pemakaian begini sangat sesuai dengan lelaki bertubuh besar dalam melindungi bahagian tertentu. – Agensi
Pakaian yang bercorak kecil seperti memakai baju kotak-kotak yang bersaiz kecil atau memilih pakaian yang bercorak memanjang atau menegak mampu memberi ilusi kurus kepada sesiapa yang memandangnya. – Agensi
Pilih seluar yang bersaiz sederhana atau jenis carrot cut kerana ia memberi lebih ruang di kawasan paha. – Agensi

Pakai pakaian berukuran sederhana

Kebanyakan lelaki berbadan besar ini selalu memilih ukuran saiz pakaian yang salah. Di mana kebanyakannya memilih baju yang berukuran besar. Hal ini bertujuan untuk menyembunyikan saiz badan dan perut buncit.

Sebenarnya tanggapan itu salah, lelaki berbadan besar ini seharusnya memilih ukuran pakaian yang sederhana sahaja, iaitu tidak juga ketat dan tidak juga longgar. Jika memilih pakaian yang lebih besar dari ukuran badan akan lebih kelihatan badan kita berukuran besar dari ukuran badan kita yang asal.

Manakala jika memilih pakaian yang lebih ketat akan lebih menonjolkan bentuk badan kita. Jangan sesekali memakai pakaian yang melekat ke badan kerana setentunya tidak sesuai untuk dipakai dan kurang elok dilihat ramai.

Jangan tertumpu pada pakaian berwarna hitam

Memang tidak dinafikan memakai baju yang berwarna gelap lebih sesuai dipakai oleh orang yang berbadan besar. Hal ini kerana dengan memakai pakaian gelap lebih memperlihatkan orang yang memakainya lebih kurus.

Namun, itu hanyalah ilusi mata ketika melihat warna hitam dan sebenarnya lelaki berbadan besar ini boleh saja memilih pelbagai warna untuk dipakai. Memakai warna yang terang juga boleh membantu kelihatan lebih gah dan bergaya. Tetapi sebagai langkah permulaan, cuba untuk memakai pakaian hitam yang mempunyai jalur, corak ataupun tulisan yang kecil kerana ia mampu menampakkan ilusi yang kecil dan mengalihkan perhatian.

Justeru, jika memakai pakaian yang bercorak besar akan membuat pandangan orang tertumpu pada corak tersebut dan dalam masa yang sama menampakkan ilusi yang besar. Oleh itu pilihlah pakaian yang bercorak kecil seperti memakai baju kotak-kotak yang bersaiz kecil atau memilih pakaian yang bercorak memanjang atau menegak kerana ia mampu memberi ilusi kurus kepada sesiapa yang memandangnya.

Pilih seluar yang tidak ketat

Seperti yang dijelaskan pada tip yang awal, memilih pakaian yang ketat merupakan sesuatu langkah yang salah. Oleh itu, pemilihan seluar yang ketat juga memberikan kesan yang sama iaitu lebih menonjolkan bentuk badan anda.

Sebaiknya pilih lah seluar yang bersaiz sederhana atau jenis carrot cut kerana ia memberi lebih ruang di kawasan paha anda. Pakailah seluar yang berpinggang tinggi agar ia akan menampakkan pinggang dan menyembunyikan perut di dalam seluar. Pemilihan ukuran dan potongan seluar adalah penting bagi lelaki yang berbadan besar dan apa yang penting adalah keselesaan dan gaya yang sesuai.

Mengikut pembacaan penulis, menggosok baju dan seluar yang menampakkan garis lipatan yang tajam dan lurus atau lebih dikenali sebagai ‘side’ akan membantu anda lebih nampak kurus. Hal ini kerana dengan adanya garisan ini akan mengganggu visual dan menggurangkan bentuk badan anda dengan mengalihkan fokus orang lain pada garis tajam tersebut.

Pakai pakaian berlapis

Jika anda hanya tertumpu memakai pakaian yang biasa anda pakai, cubalah tip ini agar anda lebih kelihatan kurus iaitu dengan memakai pakaian berlapis. Di mana dengan teknik pemakaian begini sangat sesuai dengan lelaki bertubuh besar dalam melindungi bahagian tertentu seperti dada dan perut buncit.

Sebagai contoh, jika anda suka memakai kemeja T, cuba padankan dengan jaket atau kemeja besar bagi memberi bentuk badan yang lebih baik kepada anda.

Tempah pakaian mengikut ukuran sendiri

Mimpi ngeri bagi orang yang berbadan besar ini adalah ukuran pakaian. Bila baharu terpikat dengan sehelai baju atau seluar, terus merasa kecewa apabila mendapati tiada ukuran yang sesuai. Sehinggakan kekecewaan itu membuat kita kurang keyakinan diri untuk memilih pakaian di kedai-kedai.

Memang tidak dinafikan ada sesetengah kedai yang menjual ukuran pakaian yang besar, tetapi kadangkalanya tiada pilihan untuk mendapat yang menarik dihati. Namun, itu bukanlah jalan buntu bagi anda untuk mendapatkan pakaian yang sesuai kerana anda boleh saja melakukan tempahan di tukang jahit. Dengan menempah pakaian di tukang jahit ini akan membantu anda mendapatkan pakaian mengikut selera dan keselesaan anda sendiri tanpa waswas.

Guna aksesori yang sesuai

Di samping hanya menumpukan pada ukuran pakaian, anda perlu juga menitikberatkan aksesori yang akan gunakan. Pada kebiasaannya aksesori yang dipakai oleh kaum lelaki lebih besar berbanding wanita. Hal ini kerana dengan pemakaian aksesori besar ini mampu melakukan ‘trick’ visual terutama bagi yang berbadan besar.

Ini dapat dilihat, di mana ketika kita meletakkan objek besar bersebelahan objek yang kecil, akan ada perbandingan yang amat ketara sehinggakan ia lebih menonjolkan objek yang besar tersebut. Justeru jika anda menggunakan aksesori yang kecil ia akan membuatkan anda kelihatan lebih besar. Oleh itu pilihlah aksesori yang lebih besar seperti memakai tali pinggang yang tebal atau tali leher yang tebal. Dengan tip yang dikongsikan ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam memilih pakaian yang sesuai untuk tampil lebih bergaya. Sebenarnya yang penting adalah keyakinan dalam diri anda dan memiliki azam untuk berubah.