Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Dalam sama-sama mensyukuri dan berkongsi keceriaan di bulan Ramadan yang penuh baraqah di samping berbagi untuk memeriahkan suasana kedatangan bulan Syawal 2025, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM)menerusi Cawangan Daerah Brunei dan Muara hari ini telah mengadakan Program Iftar Kasih Ramadan 2.2 bersama Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis diungkayahkan dengan kerjasama Kumpulan Syarikat Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Kumpulan Syarikat Samima Sdn Bhd untuk berbagi rezeki bersama golongan sasaran yang terdiri daripada asnaf fakir miskin, keluarga daif, ibu tunggal, warga emas, dan mereka yang terkesan dan berkeperluan khususnya di Kawasan 1, RPN Lambak Kanan.
Majlis Penyampaian Bakul Makanan Asasi kepada 20 keluarga asnaf fakir miskin RPN Lambak Kanan Kawasan 1 telah disumbangkan oleh Kumpulan Syarikat Samima Sdn Bhd dan disampaikan oleh Pengarah Urusan, Haji Hidayathulah Thajudeen.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian sumbangan wakaf kepada Masjid RPN Lambak Kanan daripada PBSM.
Acara diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama keluarga asnaf fakir miskin sumbangan Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB.
Turut hadir di majlis itu, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Roasli bin Haji Ibrahim, serta perwakilan dari Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Samima Sdn Bhd, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Lambak Kanan dan para jemaah.
