Berbaloikah gunakan Baitcaster?

Oleh Raz AS

Kebanyakan pemancing ketika baru berjinak-jinak dengan aktiviti memancing bermula dengan menggunakan spinning reel. Mungkin ada yang bermula dengan hand reel atau kirikan seperti penulis sendiri, namun bab seterusnya pasti juga dilanjutkan dengan spinning reel, ini kerana ia sangat mudah digunakan, versatil, senang membuat lontaran dan lain-lain lagi.

Penulis masih ingat melihat gambar-gambar di dalam majalah-majalah pancing ketika masih di bangku persekolahan, yang memaparkan reel bertenggek kecil yang ketika itu lebih dikenali sebagai low profile multiplier, reka bentuknya yang kecil dan membujur membuatkan penulis tertarik hati untuk memilikinya.

Namun begitu hajat itu dipendamkan sahaja kerana faktor kewangan, tidak mahu mengusut duit daripada indung, walau bagaimanapun tidak menghalang penulis untuk terus menyimpan angan-angan, yang akhirnya tercapai semasa melanjutkan pengajian di universiti. Baitcaster jenama Shimano berwarna hitam dan emas kira-kira $90 harganya, itulah baitcaster pertama yang dimiliki penulis.

Rasa iski hati penulis ketika itu tidak dapat disembunyikan lagi, penulis hampir saban hari turun ke memancing supaya cepat pandai menggunakannya, kadang-kadang kalau sudah terlebih ‘racun’ latihan melontar dibuat di perkarangan asrama. Pokok-pokok bunga atau tin kosong dijadikan sebagai sasaran lontaran.

Meskipun lebih rumit berbanding spinning reel, namun baitcaster mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Ia membolehkan pemancing membuat siri lontaran dengan tangkas dan tepat, sesuai digunakan untuk teknik casting dengan umpan tiruan yang memerlukan lontaran berulang-ulang dibuat, bahkan ia juga kurang meletihkan kerana pergerakan tangan yang minima.

Sistem brek magnetik mempunyai tombol yang terletak pada bahagian luar sisi reel, manakala sistem brek centrifugal pula terletak pada bahagian dalam reel yang boleh diakses dengan membuka plat sisi baitcaster.
Kebanyakan pemancing ketika baru berjinak-jinak dengan aktiviti memancing bermula dengan menggunakan spinning reel kerana ia sangat mudah digunakan, versatil, senang membuat lontaran dan lain-lain lagi.

Walaupun begitu bagi menggunakannya memerlukan kemahiran yang perlu dikuasai melalui latihan yang banyak. Tidak seperti spinning reel, baitcaster mempunyai teknologi seperti tension knob dan sistem brek (braking systems) yang memerlukan setting mengikut kesesuaian kombo yang digunakan. Ini termasuklah faktor-faktor seperti aksi dan kekuatan joran, jenis dan ketebalan tali, yang paling penting berat lure, umpan atau batu ladung yang ada di hujung tali pancing kita.

Pendek kata, settingnya perlu sentiasa disesuaikan sekiranya terdapat perubahan pada salah satu daripadanya. Bahkan faktor angin seperti arah datang dan kekuatan angin juga boleh mempengaruhi setting awda.

Jadi tidak seperti spinning reel, tiada istilah ‘one-size-fits-all’ atau yang seumpamanya. Jika tukar lure, ubah setting. Tukar joran, ubah setting. Angin datang dari depan atau dari tepi dengan kuat, ubah setting. Begitulah seterusnya.

Kegagalan untuk menyesuaikan setting boleh menyebabkan pemancing berhadapan dengan masalah yang ‘mengusutkan’ kepala. Backlash atau juga dikenali sebagai ‘sarang burung’, merupakan mimpi ngeri kepada para pengguna baitcaster, lebih-lebih lagi jika keadaannya sangat teruk.

Backlash berlaku apabila spool tali berputar lebih laju daripada kelajuan tali yang keluar, contohnya kerana umpan terlalu ringan atau tali ditiup angin, ketika lontaran dibuat menyebabkan tali pancing bertindih-tindih dan kusut seumpama sarang burung di bahagian spool.

Bukan sahaja ia boleh mengambil masa untuk dibetulkan, bahkan kadang-kadang tali pancing terpaksa dipotong pada bahagian yang kusut teruk bagi mengejar masa yang berharga di padang pancing.

Berani penulis katakan bahawa backlash merupakan punca utama minat seorang pemancing itu untuk terus belajar menggunakan baitcaster terbantut. Hal ini banyak yang terjadi di kalangan kenalan penulis sendiri, apabila ditanya mana tia baitcaster yang baru mereka beli beberapa minggu atau beberapa bulan yang lepas, jawapan mereka sama “ku jual sudah, liwat bepulut tia ganya.” Memang diakui membagi sanak kalau tali sentiasa kusut, jadi keraja.

Oleh itu apa yang sebaiknya dilakukan sebelum awda membuat keputusan untuk mendapatkan baitcaster, awda perlulah menanyakan beberapa soalan kepada diri sendiri. Adakah menggunakan baitcaster perlu dengan situasi, keadaan dan teknik pancingan awda? Adakah awda bersedia untuk meluangkan masa berlatih menggunakannya? Jika awda gagal meminimumkan risiko backlash ketika berada di padang pancing, lebih-lebih lagi kerana malas berlatih, adakah ia lebih baik daripada menggunakan spinning reel?

Jika tekad awda sudah kuat untuk berjinak-jinak dengan baitcaster, perkara pertama yang awda perlu lakukan adalah untuk mengenali dengan lebih dekat baitcaster yang awda ingin dapatkan. Harga bukanlah faktor yang penting dalam memilih baitcaster.

Telitilah spesifikasinya adakah ia sesuai dengan kaedah pancingan dan padang pancing awda, seperti berapa banyak tali yang boleh dimuatkan ke dalam spool, nisbah gear atau kelajuan retrievenya, adakah ia sesuai digunakan di air masin jika awda bercadang menggunakannya di kawasan muara atau laut, seboleh-bolehnya ketahui maklum balas mengenainya dengan bertanya atau membaca review daripada pengguna-pengguna lain.

Kenal pasti sistem brek yang terdapat pada baitcaster tersebut. Sistem pembrekan baitcaster ada dua jenis iaitu sistem brek magnetik dan centrifugal. Sistem brek magnetik mempunyai tombol yang terletak pada bahagian luar sisi reel, manakala sistem centrifugal pula terletak pada bahagian dalam reel yang boleh diakses dengan membuka plat sisi baitcaster. Ia selalunya mempunyai salah satu daripada sistem tersebut ataupun kedua-duanya, tidak ada yang tiada, cuma reka bentuknya sahaja yang berlainan mengikut jenama dan model.

Sistem brek ini akan memperlahankan putaran spool pada saat awal lontaran dibuat. Sebagai permulaan, setkan sistem brek awda pada tahap maksimum. Kemudian sesuaikan tension dengan memutarkan tension knob yang terletak pada bahagian sisi yang sama dengan reel handle. Tension knob ini akan memberikan tekanan pada bahagian spool secara keseluruhan dan memperlahankan pusingannya terutama sekali pada saat akhir lontaran dibuat.

Setelah itu buat ujian dengan memegang joran lurus, selari (parallel) dengan permukaan, ke hadapan anda dengan lure atau batu ladung tergantung 90 darjah di hadapan. Tekan thumb bar yang terletak pada bahagian belakang spool untuk melepaskan tali keluar.

Apabila dilepaskan, lure yang diikat pada hujung tali sepatutnya jatuh dengan perlahan, dan apabila ia mencecah ke tanah atau air spool turut berhenti berpusing oleh itu adjust bahagian tension knob dan lakukan ujian ini berulang kali sehingga mencapai matlamat tersebut.

Sebagai tip agar lebih mudah setting, sebaiknya kencangkan tension knob terlebih dahulu dan perlahan-lahan kendurkan untuk menyesuaikannya.

Setelah semua setting dilakukan, sebelum membuat lontaran pastikan umpan tergantung pada hujung joran tergantung kira-kira 1 kaki, sama seperti menggunakan set spinning. Genggam erat rod handle, dekapkan ibu jari ke atas spool terlebih dahulu untuk menahan tali daripada keluar kemudian tekan thumb bar. Bagi cara melontar menurut pendapat penulis teknik overhead lebih mudah bagi pengguna baru baitcaster.

Melakukan lontaran overhead menggunakan baitcaster juga sama seperti ketika menggunakan set spinning, bayangkan awda berada di tengah-tengah permukaan jam dan joran awda adalah jarum jam, bahagian hadapan awda adalah jam tiga, belakang adalah jam sembilan dan tegak di atas kepala adalah jam 12. Ketika lontaran dilakukan, apabila joran melimpasi jam 11 lepaskan tekanan ibu jari yang menahan spool.

Namun sebaiknya pastikan ibu jari tidak dilepaskan sepenuhnya ketika membuat lontaran. Berikan sedikit tekanan lembut pada spool dengan ibu jari awda dan tahan kembali apabila umpan betul-betul hendak mencecah jatuh ke permukaan. Jadi boleh dikatakan untuk menggunakan baitcaster, kemahiran mengawal tekanan ibu jari atau thumbing adalah yang paling penting untuk dikuasai bagi mengelakkan backlash.

Jangan khuatir sekiranya lontaran pertama awda tidak jauh lebih-lebih lagi kerana menggunakan setting brek yang kuat. Teruskan berlatih sehingga selesa membuat lontaran, setelah awda sudah boleh mengawal tekanan ibu jari awda, bolehlah perlahan-lahan menggurangkan kekuatan brek dan tension knob untuk membuat lontaran yang lebih jauh.

Dengan kemajuan teknologi sistem brek yang ada pada sesetengah baitcaster di pasaran masa kini, setting yang dilakukan dengan betul tidak memerlukan pemancing untuk melakukan thumbing, menjadikannya lebih mesra pengguna, namun begitu tidak mensifarkan risiko backlash 100 peratus.

Tidak rugi jika kita meluangkan masa untuk berlatih pelbagai jenis teknik lontaran seperti sidecast, skipping, flipping, pitching dan sebagainya agar kelebihan sebenar baitcaster lebih terserlah dan kita sebagai pengguna lebih rasa berbaloi menggunakannya.