Wednesday, January 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berbasikal terokai keindahan Tasik Vanern

    Oleh Florian Sanktjohanser –

    SWEDEN – Rumah kayu berwarna-warni dan kapal layar hanya beberapa minit di belakang, apabila penunggang basikal pertama datang dari arah lain, seorang wanita muda dengan basikal jelajahnya.

    Pemandangan yang luar biasa di Sweden, menurut Johan Odh, yang mengatakan orang di sini cenderung memilih basikal lumba dan basikal lasak khas untuk pendakian gunung.

    Lelaki berbadan tegap berusia pertengahan 40an itu, seorang pemandu pelancongan dan pengedar basikal, menemani saya semasa kami meninggalkan Mariestad, sebuah bandar di pantai selatan Tasik Vanern kira-kira 200km barat daya Stockholm. Perjalanan dengan basikal pelancongan tidak mempunyai banyak songeh, katanya.

    Di luar kawasan desa, kebanyakan orang Sweden memandu kereta dan hampir tidak ada laluan basikal yang berasingan. Namun sekarang nampaknya ia akan berubah.

    Setiap tahun laluan basikal jarak jauh baharu dibuka, dengan tujuh daripadanya telah disahkan sebagai laluan pelancongan basikal.

    Istana Lacko terletak di pulau Kallandso di Tasik Vanern. – ANN/The Star
    Menara pemerhatian setinggi 19 meter di Killekulle dibina pada 1892. – ANN/The Star
    Barat Lidkoping, laluan kayu baharu merentasi menerusi paya di belakang pantai. – ANN/The Star

    Dan yang terpanjang setakat ini ialah laluan Vanerleden yang dirasmikan pada 2022.

    Laluan itu meliputi kira-kira 640km, mengelilingi Vanern, tasik terbesar di Sweden.

    Mengelilingi tasik dengan basikal boleh mengambil masa lapan hingga 10 hari.

    Matlamat perancang adalah untuk menetapkan laluan yang berhampiran dengan garis pantai, dengan seberapa boleh elak menggunakan jalan asfalt biasa. Awda akan mengetahui sebabnya selepas ini.

    Setelah meninggalkan Mariestad, sebuah kereta melintasi kami secara agresif. Seorang lagi membunyikan hon. Nasib baik, jurupandu Johan sempat membelok ke denai hutan.

    Hampir setiap kampung di pinggir laluan basikal boleh berfungsi sebagai latar untuk penggambaran satu lagi filem romantik Inga Lindstrom schmaltzy: Rumah kayu merah dengan tingkap ambang putih, ditumbuhi tumbuhan liar dan dikelilingi oleh bunga di mana-mana.

    Selepas rehat tengah hari, kami menuju ke puncak Kinnekulle, atau gunung yang menghijau. Ia menarik tumpuan ramai orang yang berminat dengan botani.

    “Tempat ini lebih indah daripada yang lain,” tulis naturalis terkenal Carl von Linne pada abad ke-18.

    Banyak spesies unik tumbuh di bekas padang rumput. Pada bulan Mei, bawang putih liar dan bunga anemon kuning melitupi cerun, sementara terdapat beberapa pokok oak berusia berabad-abad lamanya.

    Beribu-ribu rusa hidup di hutan gunung. Leluhur mereka suatu ketika dahulu telah memasuki hutan bersama pemilik tanah yang besar untuk tujuan memburu dan telah membiak sejak itu. “Haiwan itu memakan segala-galanya di taman awda,” kata Johan.

    “Saya sudah berhenti daripada menanam apa-apa.”

    Laluan itu beransur-ansur naik dengan curam. Burung hantu dengan sayap mengepak, terbang di atas laluan manakala helang laut berlegar tinggi di atas hutan.

    Kinnekulle adalah kawasan rumah Johan, dan beberapa kali seminggu dia mengayuh menaiki cerunnya.

    Laluan itu melepasi tasik di bekas kuari batu. Beberapa pendayung keluar di perairan berwarna biru kehijauan.

    Sejak beberapa tahun lalu, lubang barbeku baharu telah dibina, tandas didirikan dan laluan mendaki di pinggir tasik dilanjutkan. Tapak perkhemahan telah dihuni sepenuhnya.

    Berjalan melepasi tasik, Johan sekali lagi bersemangat meneruskan kayuhan ke hadapan.

    Laluan tanah berakhir di kawasan hutan lapang: Puncak Kinnekulle, setinggi 306 meter.

    Untuk membantu pelawat menikmati sedikit keterujaan puncak gunung, terdapat menara pemandangan setinggi 19 meter yang didirikan pada tahun 1892.

    Dari atas sana, pelawat boleh melihat pemandangan Tasik Vanern berwarna biru baja, manakala di kejauhan terdapat kincir angin dan menara putih Istana Lacko yang tersergam dalam hutan gelap semenanjung.

    Tasik ini luas terbentang seperti laut dan pada hari yang tenang, awda boleh melihat deburan ombak kecil di perairan. Johan berkata dalam cuaca ribut, ombak boleh naik setinggi 2 meter.

    Musim panas lalu, dua pemuda Jerman lemas ketika cuba berkayak ke gugusan pulau di tengah tasik tersebut.

    Meninggalkan puncak, Johan mengayuh melalui hutan dan padang di laluan berliku dan sempit menuruni ke bandar Trolmen.

    Hari itu berakhir dengan penginapan dan sarapan pagi di sana, dari mana pengunjung teres melihat padang rumput yang disinari matahari di mana lembu-lembu sedang meragut.

    Pada musim panas, ramai warga Norway dan Sweden datang berkhemah dan berenang di Tasik Vanern, lapor pemilik muda B&B.

    Tasik itu mungkin sama jernihnya dengan Tasik Vattern yang terletak lebih dalam sedikit ke tenggara, tetapi ia jelasnya lebih panas.

    Keesokan harinya memberikan banyak peluang untuk menguji perjalanan seterusnya. Matahari pagi yang berkilauan membuat rumput kelihatan bersinar, manakala dua ekor bangau melintasi padang.

    Tayar basikal kami meluncur di atas jalan desa tanpa kereta, dibarisi oleh beberapa ladang dengan bangsal sebesar dewan. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda