Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Harta merupakan amanah daripada Allah untuk dimanfaatkan sebaiknya-baiknya dan bukan untuk disia-siakan dan agama Islam juga melarang dan menegah umatnya daripada perbuatan membazir.
Khatib dalam khutbah Jumaatnya hari ini yang bertajuk ‘Bijaksana dan Bersederhana dalam Berbelanja’ menegaskan yang agama Islam menganjurkan cara berbelanja dan mengurus harta dengan betul iaitu dengan penuh bijaksana, bersederhana dan jangan berlebih-lebihan atau membazir.
Perlu diingat, katanya, orang yang membazir itu diungkapkan dalam Al-Quran sebagai saudara syaitan dan syaitan itu pula amat suka kepada orang boros dan yang membelanjakan harta mereka mengikut hawa nafsu.
Menurutnya, berbelanja bagi memenuhi keperluan itu tidak salah tetapi ia hendaklah mengikut kemampuan dan mengutamakan keperluan dan bukan mengutamakan kemahuan dan hawa nafsu.
“Kita perlu membuat perubahan sikap dengan menerapkan inisiatif baharu dalam hal ehwal pengurusan kewangan iaitu muhasabah diri dalam perbelanjaan dan gaya hidup iaitu berbelanja mengikut kemampuan dan pada keperluan saja,” tegasnya.
Selain mengelakkan diri daripada berhutang, lebih-lebih lagi berhutang daripada perkara tidak berfaedah dan tidak penting selain mengamalkan budaya menabung, kerana amalan menabung bukan saja dapat mendidik diri berjimat cermat tapi yang penting ialah amalan menabung itu dapat membantu ketika menghadapi situasi kecemasan dari segi kewangan tanpa perlu berhutang dan meminta bantuan daripada orang lain.
Khatib memberikan contoh seperti jika berlaku hal-hal kecemasan, keperluan yang mendesak bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak, membaiki kereta yang rosak dan seumpamanya.
“Harta yang dimiliki itu bukan hak milik mutlak kita semua tapi terdapat juga hak orang lain di dalamnya yang perlu ditunaikan,” jelasnya.
Agama Islam turut menggalakkan umatnya supaya melaksanakan konsep tolong-menolong dan bantu-membantu, jelasnya, dengan mengeluarkan zakat, bersedekah, berwakaf, membantu fakir miskin, menolong anak-anak yatim dan seumpamanya.
Kerana dengan itu, ia akan menimbulkan sifat hormat-menghormati di antara satu dengan lain tanpa mengira darjat, keluarga, jiran sama ada yang dikenali atau tidak.
“Sesungguhnya infak atau membelanjakan harta di jalan Allah seperti bersedekah dapat membantu dan melatih jiwa untuk menjadi orang yang sentiasa berbuat baik, prihatin, belas kasihan, jauh daripada sifat sombong dan seumpamanya,” tambahnya.