Berber sah bahasa rasmi Maghribi

RABAT, 11 JUN – Penggubal undang-undang Maghribi sebulat suara telah meluluskan satu rang undang-undang yang mengesahkan status rasmi Bahasa Berber, lapan tahun selepas ia diiktiraf dalam perlembagaan baharu.

Undang-undang baharu itu bertujuan memperkukuh penggunaan Berber, di samping Bahasa Arab, oleh pentadbiran kerajaan, pihak berkuasa tempatan, perkhidmatan awam, sekolah dan dalam kehidupan kebudayaan.

Berber, atau Amazigh, pada mulanya diiktiraf sebagai bahasa rasmi pada 2011, selepas kempen oleh aktivis berdekad lamanya.

Negara itu telah bergelut untuk memperkukuh status bahasa, meskipun ia merupakan bahasa ibunda sebahagian besar penduduk.

Undang-undang baharu itu akan “melancarkan status rasmi Amazigh, memelihara bahasa dan melindungi warisan budaya,” kata Menteri Kebudayaan Mohamed Laaraj selepas pengundian, yang diadakan lewat semalam.

Namun seorang aktivis Berber terkenal dan intelektual berkata undang-undang tersebut adalah tidak mencukupi.

“Ia bukan apa yang diingini oleh kebanyakan penduduk Amazigh, undang-undang ini masih kabur, ia tidak berkata bahawa Amazigh mesti diajar atau digunakan oleh media,” beritahu Mohamed Assid kepada AFP. – AFP